Iklan Sat

Kembali Dara

Kembali Dara

Terlalu Berkira Akan Dikira

on Friday 28 September 2012




Apabila bekerja, kita tidak harus berkira dalam semua yang kita harus kerjakan. Misalnya, jawatan kita kerani akaun, sesekali tidak salah membuang sampah yang terdampar lama berhampiran tong sampah. Ambillah sampah itu dan masukkan ke dalam tong sampah.

Ia tidak termasuk dalam spesifikasi kerja kita, tetapi tidak salah kalau kita tolong masukkan sampah itu ke tempat yang seharusnya. Ia tidak menurunkan kedudukan kita sebagai kerani akaun pun.

Begitu juga apabila kita tinggal dalam sebuah rumah bersama kawan-kawan. Tidak boleh kita katakan, “Ini kerja engkaulah sapu sampah. Aku hanya penyewa bilik aku.” Mengapa tidak katakan sahaja, “Ini kerja tuan rumah, bukan kerja kita. Kita dah bayar sewa rumah, dialah yang kena pastikan rumah kita ni bersih sepanjang masa.”

Soalnya mahukah anda kalau tuan rumah hari-hari datang ke rumah sewa anda itu untuk membersihkannya? Tentu anda akan lemas melihat mukanya hari-hari. Hilang privasi bukan? Jadi, setelah kita berkahwin, kita juga tidak harus begitu berkira dengan pasangan kita. Meskipun tidak begitu salah jika hendak berkira terutama soal gaji dan perbelanjaan rumah, tetapi kalau berkongsi masalah tentu kita juga dapat berkongsi kegembiraan.

Kalau terlalu berkira kita akan jadi orang asing dalam rumah kita sendiri. “Eh, tak boleh makan yang ini, ini suami aku yang beli. Eh, tak boleh guna mesin basuh ini sebab ini guna duit suami.” Habis, bagaimana dengan tinggal serumah di bawah satu bumbung? Apakah kita hendak mengatakan, “Eh, tak boleh tinggal dalam rumah ni, kena bayar sewa.” Kalau suami isteri pun saling sewa menyewa itu bukanlah perkahwinan namanya.

Punca banyak perselisihan rumah tangga adalah apabila masing-masing saling berkira. “Tahun lepas dah balik raya rumah abang, tahun ni rumah sayalah pulak. Kalau abang nak balik jugak rumah mak abang tu, kita cerai saja.” Kalau begitu susahlah hidup, pasti tiada kebahagiaan akan anda kecapi sepanjang bergelar suami ataupun isteri.

Yang betul, saling bertoleransi. Kongsi kegembiraan, kongsi kedukaan. Tidur pun sekatil, cubalah samakan mimpi. Usah terlalu berkira kelak sendiri juga yang merana. “Oleh kerana awak terlalu berkira, ini senarai belanja hidup bersama. Sila bayar.”

Dalam senarai itu ada bil air, bil elektrik, kos guna peralatan dapur, kos guna ruang tamu, kos tonton tv, kos guna bilik air, kos naik kereta bersama dan lain-lain. Kelakar juga kalau hal sedemikian terjadi, tetapi tahukah anda hal sebegini memang terjadi.

Kalau kita boleh belanja kawan di restoran hingga beratus ringgit harganya, kenapa apabila tiba pada suami atau isteri kita hendak berkira pula? Macam mana kalau anak lahir nanti? Apakah kita hendak berkira juga dengan anak?

Hilang bahagia Ketika anak itu telah mencecah umur 20 tahun, kita pun keluarkan senarai ‘Belanja Membesarkan Engkau’. Nanti, ketika kita berusia 60 tahun, dia pula mengeluarkan senarai unjuran belanja untuk memelihara kita sehinggalah ‘padam’.

Usah terlalu berkira sebab kira-kira yang sebetulnya sedang dilakukan oleh Allah dengan sebenar-benarnya. Satu pun tidak tertinggal. Tiada manusia dapat menandingi kira-kira Allah biar sedetail mana pun dia. Kita mesti akan terlepas pandang atau tertinggal, ataupun terlebih dalam membuat perkiraan kita biar sehebat mana kebolehan matematik kita.

Biarlah Allah sahaja buat kira-kira- Nya terhadap kita sebab Allah pasti adil dan saksama. Mana-mana kebaikan yang kita lakukan biar Allah yang menilai dan mencatatkannya buat kita, moga-moga sebarang kesalahan yang kita lakukan terhadap pasangan kita dapat dibasuh pula oleh kebaikan-kebaikan yang dicatatkan itu.

Orang yang terlalu berkira pasti akan hilang bahagia, tidak terkira-kira banyaknya bahagia yang hilang itu. Samalah sebagaimana orang yang bekerja apabila terlalu berkira tentang kerjanya, dia pasti tidak mendapat pertolongan kawan-kawan sekerja kerana mereka juga akhirnya akan terlalu berkira juga. Bayangkan kalau majikan pula terlalu berkira, bahagiakah anda bekerja di tempat begini? Mari jadi orang yang ikhlas, tidak terlalu berkira agar orang lain juga ikhlas terhadap kita.

Sumber : mingguanwanita

Kahwin Siapa Rasanya Serupa

on Saturday 22 September 2012




Kalau hatinya kacau, tilam selembut mana pun tidak terasa menganjal, tetapi andainya hati dengan tilam dapat diselarikan tentu tidur menjadi lebih tenteram. Tidak perlu tilam mahal kalau tidurnya memang berkualiti. Lihat sahaja orang gelandangan, mereka tidur melepak begitu sahaja di kaki lima kedai. Tidur mereka sangat nyenyak. Bunyi kenderaan yang lalu lalang pun tidak membuatkan mereka jaga.

Kita mahu tidur yang serupa itu, iaitu biar bagaimana buruk rupa katil dan tilamnya tetapi asal baring sahaja di situ terus nyenyak, kalau bermimpi pun semuanya indah-indah belaka. Pada orang kaya, boleh sahaja membeli tilam Posturepedic palatial crest berjenama Sealy berharga RM90,500 seunit tetapi kalau jiwanya kacau tidak lena juga bukan? Pada orang yang sederhana tilam serupa itu bukan semakin menyebabkannya tidur, malah berjaga sepanjang malam. Apalagi pada orang miskin, boleh jadi ditimpa penyakit tidak boleh tidur selama-lamanya. Kalau orang boleh tidak pasti sama ada isterinya itu lelaki atau wanita setelah berkahwin selama setahun, itu isu apa sebenarnya, tentunya bukan masalah tilam, bukan? Lihat sahaja juara pidato Piala Perdana Menteri 2007, Olga Vadimovna Vasilevskaya, gadis Rusia memilih orang Melayu sebagai pasangan hidupnya.

Dia bukan sahaja jatuh cinta terhadap bahasa Melayu tetapi juga orang Melayu lalu mengambil keputusan memeluk agama Islam pada 9 Mac 2012 dengan nama Islam, Azizah Abdullah. Bukan masalah orang putihkah, orang hitamkah, tidur di atas tilam mahal atau melepak begitu sahaja di atas lantaikah, kalau hatinya seronok rasanya serupa sahaja.

Tidak perlu barangan terlalu berjenama yang penting kualitinya sama. Melalui pendekatan Jabatan Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Labuan misalnya, mereka memperkenalkan sejenis minuman berharga murah, rasanya sama seperti yang ada di pasaran yang selalunya dijual dengan harga yang mahal oleh jenamanya yang terkenal. Bukan sahaja rasanya sama tetapi juga bahan-bahan buatannya sama. Sekarang anda hendak pilih yang mana? Hendak yang berjenama tetapi terpaksa membayar lebihkah atau membeli sahaja yang murah dan rasanya sama, cuma tanpa jenama?

Pada orang yang mementingkan status mereka sanggup berbelanja lebih untuk membeli yang berjenama meskipun mereka sedar kedua-duanya mempunyai rasa dan khasiat yang serupa. Habis, mengapa yang berjenama itu mahal? Sebenarnya anda membayar harga pek serta iklan menyebabkan ia terpaksa dijual mahal. Apabila pek dipermudahkan serta tiada iklan, kosnya jadi rendah. Jadi, apa masalahnya terlalu fanatik terhadap sesuatu barang yang berjenama sedangkan yang tidak pun rasa dan khasiatnya serupa? Jika terlalu teruja dengan jenama pun, masukkan sahaja serbuk minuman itu ke dalam bekas lama dan anggap anda sedang minum yang berjenama.

Jika hendak sangat tidur di atas tilam berharga dekat seratus ribu, tampalkan sahaja jenama tilam mahal itu di tilam anda. Kita menjadi hairan dengan orang yang terlalu ekstrem terhadap pilihan-pilihan mereka yang keterlaluan, sedangkan kebanyakan benda yang terlalu ‘diekstremkan’ itu sama dan serupa sahaja rasanya dengan yang ada banyak di pasaran. Andainya mampu, ya silakan, tetapi andainya tiada kemampuan, usah dera diri anda dengan kehendak-kehendak yang melampau.

Terima seadanya sahaja, meskipun dia yang tidak begitu anda cintai, kini telah pun bergelar suami ataupun isteri, sebab rasanya serupa sahaja. Biar orang cantik atau sebaliknya, yang penting kreativiti dalam ketika melakukan hubungan seksual, kalau tidak sama dan serupa sahaja rasanya.

Rasulullah S.A.W bersabda, ”Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan berasa cukup dengan apa yang direzekikan ALLAH serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya.” (Muslim) Dalam kata lain, redha atas apa jua kurnia-Nya. Bukankah banglo, istana, pangsapuri, teres, iglu, setinggan itu kesemuanya adalah rumah juga? Yang membezakan anda lena di dalamnya.

Sumber: mingguanwanita

Corat-Coret Kahwin

on Thursday 20 September 2012



Perkahwinan ibarat dua orang memegang benang tipis. Kalau seorang menarik benang itu, seorang lagi perlu mengendurkannya supaya tidak putus.




Babak satu
“Ada ke suami isteri yang hidupnya aman, tak pernah bergaduh, tak pernah bertengkar. Ada ker kekanda?” tanya Ghasidah ketika menemani suaminya, Abdul Wahub di kandang kuda pada satu malam selepas kena perambat dengan Sidiq Sigaraga.

“Sedangkan lidah lagi tergigit apa pula suami isteri,” jawab Abdul Wahub berfalsafah.

“Kalau begitu macam mana rumahtangga nak tenteram,” tanya Ghasidah lagi. Maklumlah ketika itu belum ada pakar motivasi seperti Dr. Fazilah Kamsah atau Dr.Tuah Iskandar.

“Hai senang saja. Buang yang keruh ambil yang jernih. Baru teguh peribadi,” Abdul Wahub masih berfalsafah.

Selepas itu mereka berduet menyanyikan lagu 'Sedangkan Lidah Lagi Tergigit'. Abdul Wahub yang dilakonkan oleh P.Ramlee mengunakan suaranya sendiri dalam lagu itu sedangkan watak Ghasidah lakonan Sarimah hanya miming. Suara ghaib nyanyian Ghasidah disumbangkan oleh Saloma. 


Bunyi cengkerik mengindahkan lagi latar di sekeliling kandang kuda. Bau busuk dari arah kandang kuda tidak dihiraukan kerana cinta sedang bercambah. Ghasidah terus memeluk suaminya begitu erat. Bagaikan tidak mahu dilepaskan. “Bapak tak marah. Peluklah laki kau sampai pagi. Peluklah.” Masih terngiang-ngiang suara Sidiq Sigiraga. Babak di kandang kuda belum berakhir. Selepas itu hanya mereka dan kuda yang tahu apa yang terjadi seterusnya.



Thumbnail

Babak Dua
Keheningan pagi itu dikejutkan oleh seorang perempuan India yang menangis dengan begitu kuat sekali. Ketiga-tiga sahabat yang baru dibuai mimpi mampir dahulu di depan rumah suami isteri India yang sedang bergaduh. Si suami memarahi isterinya dalam bahasa Tamil.

“Hei aya, apani gaduh-gaduh. Sekarang sudah mau pagi tau. Jangan bising la, pergi tidur,” nasihat Ramlee.

“Ini perempuan banyak busuk. Sama dia saya cakap, sama saya dia banyak marah.”

Habis kisah rumahtangganya dilondeh hanya kerana masalah yang sebegitu kecil.

Dialog yang paling best, “Dia banyak degil incik. Dia punya kapla batu besar ada duduk. Dia tak boleh dengar saya cakap incik.”

Bergaduh hanya kerana 'taik'.

Lepas dikaunseling oleh Ramlee 'mapler' dan 'ponnu' 'rujuk' kembali. 


Pernahkah kita mengalami situasi yang sama? Ketika asyik melayan EPL si isteri yang sama-sama penat selepas pulang dari tempat kerja meminta kita membasuh tahi anak. Si isteri penat di dapur sedangkan kita tak berganjak sambil memegang erat remote ASTRO.

Si isteri mula membebel. Kita mula naik angin sudahlah team lawan leading 2-0. Kita lempar remote kontrol tanda protes. Start enjin singgah kedai mamak. Balik rumah dengan sedikit lega kerana separuh masa kedua team kita sumbat balik 3 gol Balik tak tegur bini, buka tudung saji hanya ada BOLA sebijik bawah tudung saji..hehehe.


Kadangkala masalah sepele itu bisa menghancurkan rumahtangga yang telah bertahun-tahun dibina. Lega. Habis TAIP.

“Mama mana ayaq abah?”

“Dari tadi dok depan komputer tak berganjak. Ingat kedai mamak ka, main order saja. Orang dengan tak mandi lagi, nak basuh baju kakak, nak seterika baju. Suruh basuh taik adik pun tak bergerak.” 


Sensitif betul la cerita pasal TAHI. Esok nak cerita pasai PUNGKOK pula la. Eh! budak yang tunjuk PUNGKOK kat pemimpin negara apa cerita?


Meter Dosa

on Tuesday 18 September 2012


Luruskan hati
Betulkan lidah
Akan tegaklah iman

Tinggalkan lorong mazmumah
basuh hanyir dosa semalam
pandang lurus ke hadapan
Dakaplah redha Ilahi

Meter dosa akan berputar laju
hentikan ia
sebelum menyesal di hujung jalan

Lee Aziz
Dalam Bilik Berkuap

Kata-kata Kejayaan: Cerita Usaha Tegas

on Sunday 16 September 2012


Sukan baru sahaja berahir untuk beberapa acara. Lantas kanak-kanak lain membuat hal masing-masing. Seorang kanak menghampiri saya. Mungkin cuba untuk berkawan ataupun cuba bermanja mungkin.  Hehe.  :-P Umurnya tidaklah terlalu besar. Sekitar darjah 3 atau 4 mungkin rasanya. Saya tahu dia baru sahaja menyertai sukan sebentar tadi dan tidak memenangi hadiah ataupun tempat. Biasalah, dalam pertandingan ada menang ada kalah.

Saya cuba mengusik dia. “Menang ke tadi?” Sengaja soalan itu dilontarkan walaupun seolah-olah tahu apa jawapannya.

“Tak menang pun. Yang penting usaha.” Jawab kanak-kanak itu tegas.

Jawapan yang diberikan membuat saya terkesima sebentar. Kagum dengan jawapan yang diberikan kerana budak itu masih kecil tetapi mampu memberi jawapan yang cukup matang. Jika jawapan itu diberikan oleh orang lain yang dewasa mungkin itu lain ceritanya. Jawapannya membuatkan teringat saya kepada sebuah kisah tentang seekor burung. Tentang usaha.



Berlaku sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.Walaupun nampak tidak ada gunanya, si burung itu tetap tabah melakukannya.

Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu:
“Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.”
Lalu dijawab oleh burung berkenaan:
“Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”
Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).

DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya:
“Sesungguhnya Nabi S.A.W memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim)
Kisah itu sama sahaja seperti kisah kanak-kanak itu. Mungkin kanak-kanak itu tidak menang, tetapi dia telah berusaha. Menang atau kalah itu lain cerita. Jadi, perkara yang sama dapat diaplikasikan dalam kehidupan. Jangan difikirkan menang yang akhir tu, tetapi tanyalah pada usaha yang dilakukan. Adakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh? Ataupun kita melakukannya sambil lewa sahaja?

Jangan dikhuatir usaha yang diberikan. InsyaAllah setiap usaha pasti akan dibalas Allah S.W.T nanti walaupun ianya tidak nampak sekarang. Dan jika kita tidak menang pun pasti rasa kita puas pabila kita menoleh mengingati kenangan itu.

Salam inspirasi :-)

Dipetik dari: Saiful Izzuan

Kata-Kata Bermutiara

on Thursday 13 September 2012


Orang yang yakin dan penuh harap akan nampak ros dan bukan durinya. Tetapi mereka yang putus harap selalu akan nampak duri dan tidak bunga rosnya.  -Kahlil Gibran- 


Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang. -William J. Siegel-
Waspadalah terhadap tiga orang: pengkhianat, pelaku zalim, dan pengadu domba. Sebab, seorang yang berkhianat demi dirimu, ia akan berkhianat terhadapmu dan seorang yang berbuat zalim demi dirimu, ia akan berbuat zalim terhadapmu. Juga seorang yang mengadu domba demi dirimu, ia pun akan melakukan hal yang sama terhadapmu.


Ramai orang yang boleh memiliki jam tangan yang tinggi harganya tetapi tidak ramai boleh menetapi masa yang berharga. -Dr. Mahathir Mohamad-
Sampan tidak akan dapat belayar di padang pasir betapa pun jua empuknya pasir itu. -Pepatah Arab-
     Sesungguhnya, engkau bukan kekurangan rezeki. Engkau hanya kurang bertindak.-Mario Teguh-
Orang yang suka berkata jujur akan mendapatkan 3 hal, iaitu : KEPERCAYAN, CINTA dan RASA HORMAT. -Sayidina Ali Bin Abi Talib-

Jika kamu berhasrat untuk berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi belajarlah untuk menaiki tangga tersebut.
Sebesar-besar atau seberat-berat urusan, jangan dihadapi dengan muka berkerut, kerut muka itu dengan sendirinya menambahkan lagi kerut pekerjaan itu. -HAMKA-  
Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Saya memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar. -Umar Bin Kattab-
Bila dua orang wanita berbicara, mereka tidak mengatakan apa-apa; tetapi jika seorang saja yang berbicara, dia akan membuka semua tabir kehidupannya.  -Kahlil Gibran-
 Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. -Saidina Ali Abu Talib-
 Hidup terbina antara pahit dan manis. Kalau selalu pahit hati menjadi rawan. Kalau selalu manis hati menjadi bosan. -HAMKA-

Border ambil kat sini: familiazam


Hentikan Ketagihannya

on Wednesday 12 September 2012



Suami anda perokok? Kekasih atau tunang anda perokok tegar dan juga seorang penagih dadah? Cegahlah dia sebelum anda menjadi tukang bersih habuk rokok apabila berkahwin nanti. Bagaimana? Cuba hadiahkan dia senaskhah buku ‘101 Rahsia Penguat Nurani’ terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.


Ini bukan cerita yang sengaja diada-adakan, tetapi ini adalah cerita benar tentang seorang perokok tegar yang berhenti merokok hasil daripada membaca buku berkenaan. Siapa tahu suami, kekasih atau tunang anda itu juga berhenti merokok hanya dengan membaca buku yang sama. 

Untuk sesuatu perkara itu terjadi, ia hanya memerlukan sebab. Kita tidak pernah tahu ayat manakah yang akan menyentap hati nuraninya lantas berhenti menagih, sebab itulah menghadiahkannya sebuah buku yang sesuai adalah munasabah.

Kisah benar ini sememangnya sesuatu yang menakjubkan juga sebab buku berkenaan bukanlah ditulis fokusnya untuk menghentikan orang daripada ketagihan, tetapi maklum balas yang diterima mendapati, bukan sahaja ketagihan telah dapat diselesaikan malah seratus satu masalah masa kini turut dapat dileraikan.

“Saya bukan berlawak tapi ini betul-betul,” kata orang itu kepada saya. Dia seorang perokok tegar selama 15 tahun. Bermacam-macam cara telah dilakukannya untuk menghentikan ketagihan namun tidak berjaya. 

“Apabila saya habis baca buku berkenaan, tiba-tiba sahaja saya rasa hendak berhenti merokok dan terus berhenti hingga hari ini.” 

Ketika mula-mula mendengarnya saya sangka beliau bergurau atau sengaja mengada-adakan cerita tetapi apabila berkali-kali dia mengulang, “Saya dah tak merokok dah sekarang. Dah betul-betul berhenti. Masuk hari ini dah seminggu dah tak merokok.

“Tiba-tiba saja boleh berhenti. Tiba-tiba sahaja setelah habis baca buku itu hati saya terdorong untuk berhenti buat perkara sia-sia.” 

“Betul ke ni?” tanya saya. 

“Betul, ini bukan berlawak, ini betul-betul,” katanya bersungguh. 

Sebulan kemudian ketika saya terserempak kembali dengannya, segera saya tanyakan, “Dah kantoi ke belum?”

“Belum,” jawabnya dan demikianlah masuk bulan kedua.

Ketika artikel ini saya tulis, telah masuk bulan ketiga, dia masih tidak merokok. Jika tiga bulan berturut-turut boleh berhenti merokok memang akan kekallah begitu, syabas. 

Bagaimanakah perkara seperti ini menjadi mungkin? Buku berkenaan, memang mengajak pembacanya menelusuri nurani jauh ke dalam lalu membersihkannya. 

Setelah nurani menjadi bersih ia tidak akan mahu dikotori lagi. Seorang perokok di negara ini membelanjakan secara purata RM180 sebulan untuk membeli rokok. 

Angka itu berdasarkan laporan Kaji Selidik Tembakau Dunia (GATS) Malaysia 2011 dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawasan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat terhadap 4,250 responden.

Seramai 4.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok yang kebanyakannya didominasi oleh kaum lelaki. Sebanyak 87% perokok sedar mengenai kempen anti merokok menerusi tv dan radio, manakala 46% terfikir untuk berhenti disebabkan amaran bergambar oleh Kementerian Kesihatan, namun mereka tetap tidak berhenti. (NST 13 Jun 12) 

Jika suami anda, kekasih mahupun tunang atau sesiapa sahaja yang anda sayangi sedang mereka itu ketagihan  rokok, dadah, arak atau yang seumpama, hadiahkanlah mereka senaskhah buku berkenaan dan sarankan mereka membaca sehingga selesai. Siapa tahu ia menjadi penyebab untuk jiwa yang lebih bersih.

Kalau ada orang boleh berhenti setelah ketagihan selama 15 tahun, tidak mustahil mereka juga mendapat manfaat serupa. Yang penting mencuba dahulu bukan? Kalau tidak mencuba manakan tahu hasilnya. Hati nurani di dalam diri kita adalah bahagian diri yang bijaksana. 

Sang bijaksana ini adalah tokoh spiritual ataupun figura yang kita hormati di dalam diri kita sendiri. Itulah yang menyebabkan mengapa pesan dari hati nurani biasanya bersifat positif, selalunya kita akur terhadapnya andainya ia adalah lebih besar daripada si jahat yang juga sedang bertakhta di situ. Oleh itu, penting setiap daripada kita menelusuri nurani kita sendiri. Tidakkah anda rasa begitu?

Sumber: mingguanwanita

Amalan Mulia Rumah Tangga

on Tuesday 11 September 2012


pix
Sukarnya mengekalkan kejujuran dan begitu mudah anda melampiaskan kemarahan kepada pasangan dan anak-anak? Jom kenali diri,  siapa anda dan mengapa perlu mengubah sikap mulai sekarang!
Kita memang mudah rasa marah, tidak puas hati dan bersangka buruk terhadap orang lain. Inilah perkara-perkara negatif yang sering membelenggu hidup. Dalam rumah tangga, kalau suami balik lewat, isteri mesti marah-marah. Memikirkan yang bukan-bukan. Beranggapan mungkin suami ada perempuan lain di luar sana. Bagi suami pula, kalau nampak isteri bersiap cantik-cantik ke pejabat, dalam hatinya mesti terdetik, lelaki manalah dia nak mengurat kat pejabat tu? Akibatnya, masing-masing timbul rasa tidak puas hati.
Kalau sudah ada prasangka, pantang ditanya sikit, mesti nak melenting. Masing-masing mulalah tunjuk ‘belang’. Marah tak pasal-pasal. Silap-silap anak-anak yang langsung tak ada kena mengena terkena tempiasnya. Masing-masing hendak menang. Langsung tidak mahu mengalah. Semua ini kerana percaya diri betul. Bayangkanlah jika hal ini berlarutan, porak-perandalah rumah tangga. Jadi, sedarlah cepat sebelum terlambat. Peliharalah rumah tangga yang sudah dibina sebaiknya agar berbahagia anda di dalamnya dan kata-kata rumah ku syurga ku menjadi kenyataan.
Selain berprasangka, ada di kalangan kita yang terlalu berpegang kepada prinsip diri. Misalnya, prinsip tidak mahu mengalah. Inilah yang banyak berlaku dalam rumah tangga. Suami selalunya susah hendak minta maaf atau mengalah pada isteri semata-mata berpegang kepada prinsip lelaki tidak boleh tunduk pada wanita. Keegoan mereka mudah tercabar terutamanya apabila berhadapan dengan wanita yang bergelar isteri kerana sepatutnya isteri taat kepada suami. Isteri pula tidak kurang hebatnya kalau bertengkar. Katanya, dia pun ada prinsip. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah. Tidak kira walaupun yang salah itu suami merangkap ketua keluarga yang sepatutnya dihormati. Ya, tidak salah menegur, tetapi kenalah pada tempat dan caranya. Jangan sampai ada yang tersentuh. Disebabkan berpegang kepada prinsip masing-masing inilah, suami isteri sering tidak sehaluan. Jadi, bersatulah. Kembalilah kepada fitrah. Sedangkan Allah SWT bersedia mengampunkan hambanya walau seluas lautan dosanya, ini pula kita yang kerdil ini.
Ramai orang berkata, pengalaman silam menjadi pengajaran. Tapi, pengalaman ini jugalah yang selalunya menghalang kita untuk merai kejayaan. Pengalaman buruk seperti pernah dikecewakan oleh suami pada masa lalu membuatkan kita langsung tidak percaya padanya walaupun hakikatnya dia sudah berubah. Inilah yang perlu kita sedar. Bebaskan diri daripada belenggu. Berfikirlah secara positif. Bantulah dia untuk berubah dan terus meninggalkan tabiat lama. 
Berfikiran secara terbuka
Harus juga diingat bahawa dalam membuat apa sahaja keputusan dalam rumah tangga, anda mestilah berfikiran secara terbuka. Bukan memihak sebelah pihak sahaja. Jika rumah tangga dilanda krisis, cuba cari jalan penyelesaian terbaik. Ketahuilah bahawa sebagai manusia, kita telah dibekalkan dengan hati yang benar-benar suci. Cuma, kesucian hati itu telah ditutup oleh banyak benda negatif  sehingga kita langsung tidak sedar kewujudannya. Jadi, berusahalah untuk mencari dan menggunakannya dalam mendapatkan keredaan Allah SWT dalam setiap yang kita kerjakan.
Setiap keputusan yang dibuat juga mestilah memikirkan tentang kesan dan akibatnya pada masa akan datang dan bukan sekadar untuk tempoh yang singkat. Diakui, dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian, masing-masing mengeluarkan pendapat yang pastinya memihak kepada diri sendiri. Bagi memastikan pendapat itu lahir dari hati yang suci, jernihkanlah fikiran anda. Belajarlah melihat sesuatu itu dengan lebih dalam dan bukan dari luarannya sahaja.
Apa pun, sebelum semua yang dinyatakan di atas boleh dilaksanakan dengan sempurna, anda perlu sedar diri. Kenal siap diri anda. Ramai tidak sedar betapa kecilnya kita di dunia. Akibatnya, tanpa segan silu sering membangga diri membanding-bandingkan diri dengan orang lain yang sebenarnya sama sahaja seperti anda.
Sejak dilahirkan anda telah ditiupkan roh yang sungguh murni. Penuh dengan sifat-sifat mulia seperti sukakan kedamaian, kecantikan, ketenangan dan banyak lagi. Lantaran itu, sanggupkah anda menidakkannya? Walau apa pun ajaran agama anda, tidak pernah diajar melakukan perkara yang buruk. Jadi, tepuk dada, tanya selera. Jika hati inginkan hanya yang baik, mengapa anda sanggup bertindak sebaliknya. Begitulah juga halnya jika anda inginkan yang baik daripada isteri, lakukanlah yang terbaik untuknya. Kalau anda senang bersamanya, pasti dia senang bersama anda.  
Ketahuilah bahawa ketenangan dalam rumah tangga tidak akan dirasai jika anda tidak berusaha ke arahnya. Oleh itu, berusahalah. Sekiranya wujud sebarang masalah, berbincanglah. Suami dan isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang segala hal yang berkaitan dengan urusan rumah tangga. 
Rata-rata, bila ditanya tentang apa yang diinginkan daripada suami atau isteri, maka  ramai tanpa waswas memilih kejujuran pada tangga teratas. Nyata, kejujuran adalah nilai utama dalam kehidupan. Akan tetapi kejujuran semata-mata tidak menjamin keharmonian rumah tangga. Perlu ada 6 lagi sifat mulia yang harus digarap dan diadun bersama agar rumah tangga idaman menjadi kenyataan. Sifat-sifat lain itu ialah bertanggung jawab, berwawasan, berdisiplin, bekerjasama, adil dan prihatin.

7 sifat mulia dalam rumah tangga
1. Jujur
Sama ada anda suami atau isteri, jujur terhadap pasangan sangat penting. Elakkan diri daripada berprasangka buruk terhadap pasangan. Buang jauh-jauh sifat negatif itu dari diri. Apabila hati sudah bersih, anda pasti akan lebih sayang dan cinta padanya.
2. Bertanggung jawab
Kedua-dua belah pihak mesti tahu tanggung jawab masing-masing setelah diijabkabulkan. Sekiranya suami dan isteri menjalankan tugas yang diamanahkan sebaiknya, pasti tidak akan berlaku pertelingkahan. Dalam sesebuah institusi keluarga, suamilah yang bertanggung jawabnya memastikan seluruh ahli keluarga dijaga dan dibimbing sebaiknya mengikut jalan yang diredai Allah. Bagi isteri dan anak-anak pula, mereka bertanggungjawab mengikuti segala tunjuk ajar dan perintah suami selagi tidak bertentangan dengan kehendak agama.
3. Berwawasan
Semua pasangan suami isteri haruslah berbincang untuk menetapkan matlamat atau arah tuju keluarga. Matlamatnya haruslah sama agar perjalanan hidup lebih terarah. Dalam pada itu, masing-masing perlu sedar tujuan asal kita diwujudkan dalam dunia ini dan tahu kepada siapa kita akan kembali kelak. Barulah hidup lebih diberkati dan diredai.
4. Disiplin
Untuk memastikan matlamat tercapai, suami isteri malah seisi keluarga haruslah berdisiplin. Melakukan setiap yang disuruh agama dan meninggalkan apa yang dilarang. Ketahuilah bahawa disiplin teras kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat.
5. Bekerjasama
Apa yang penting kerja sama. Sesuatu pekerjaan jika dilakukan bersama-sama, mesti akan jadi lebih mudah. Berat sama dipikul, ringan sama dijunjung.
6. Adil
Tidak kira suami ataupun isteri, anda mestilah sentiasa bersikap adil dengan semua orang agar rumah tangga aman dan damai sepanjang masa. Walau bagaimanapun, anda perlulah memahami tentang konsep adil itu sendiri melaksanakannya. 
7. Prihatin
Rajin-rajinlah mengambil tahu apa yang berlaku di dalam keluarga anda. Selalu bertanya apa yang telah dilakukan mereka setiap hari. Jika ada yang tidak kena, perbetulkan segera. Hal ini penting bagi mengelakkan ahli keluarga anda tersasar jauh dari landasan sepatutnya yang telah ditetapkan oleh anda.

Kewajipan suami
  • Suami ialah ketua keluarga. Oleh itu, suami mestilah menjaga keluarga sebaiknya. Seorang suami mestilah mengawal, membimbing, mencari nafkah, menjaga keselamatan seisi keluarga, dan banyak lagi.
  • Selain menyediakan segala kelengkapan material untuk keluarga, suami juga perlu memastikan jiwa setiap ahli keluarga diisi dengan didikan agama secukupnya. Ketahuilah bahawa didikan agama sangat penting. Oleh itu, sekiranya suami tidak mampu mengajar sendiri, maka carilah orang yang berkelayakan untuk mengajar isteri, anak-anak dan diri sendiri.
  • Dalam hal mendidik ahli keluarga, suami perlulah menggunakan konsep menjadi contoh terbaik, belas kasihan dan berakhlak mulia.

Kewajipan isteri
  • Setiap isteri perlu taat pada suaminya. Segala tindakan tidak boleh membelakangkan suaminya.
  • Isteri juga perlu menjaga kehormatan diri dan nama baik suami ketika keluar rumah.
  • Isteri mestilah sentiasa kemas dan kelihatan menarik di hadapan suaminya dan mampu membahagiakan suami zahir dan batin.

11 amalan mulia dalam keluarga
  1. Sentiasa bersabar dan tabah menghadapi segala dugaan yang mendatang.
  2. Sentiasa memaafkan orang yang melakukan kesilapan.
  3. Saling tolong-menolong antara satu sama lain.
  4. Bersikap jujur dengan sesiapa sahaja.
  5. Saling sayang-menyayangi.
  6. Boleh bertolak ansur.
  7. Bertanggungjawab dan amanah.
  8. Elakkan diri daripada sifat-sifat negatif.
  9. Sekiranya ada masalah, berbincanglah bersama ahli keluarga.
  10. Mesti bersikap terbuka dan bersedia menerima kritikan.
  11.  Sentiasa senyum.                                                       Sumber: pama

Nur Elaine: Hijrah Hijab Ditentang Keluarga

on Saturday 8 September 2012


NurElaine Aisyah Abdullah Chua
Seingat penulis, bukan sekejap tempoh perkenalan kami lantaran tugas beliau sebagai Pengurus Perhubungan Awam di Avon Malaysia. Ketika bersua, beliau seperti yang sudah dijangka, tampil fashionista dengan kemeja dan jeans kasual bersama sehelai tweed jacket di tubuh. Sekali imbas, persis selebriti Irma Hasmie bila dijeling dari sisi. Ya, gaya wanita Cina Muslim yang berhidung mancung ini memang selayaknya dipuji!

Sambil membetulkan lilitan turban, Aisyah yang menggemari koleksi tudung dan selendang Butik D’Haja ini membuka bicara tentang langkah pertamanya bergelar Muslim. “Nama asal saya ialah Chua Siew Keng sebelum saya menukar agama pada tahun 1998, sebetulnya sebelum berkahwin. Sewaktu itu saya bekerja di Singapura dan mengambil keputusan untuk berkursus di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Banyak keindahan Islam yang saya saksikan, seterusnya membuat saya sedar bahawa agama ini bukan untuk orang Melayu sahaja. Bila pulang ke tanah air, saya melafaz syahadah sekali lagi di bawah JAKIM untuk kebenaran menukar agama.” Tutur wanita berusia 36 tahun ini.


BERHIJAB

Sebagai Pengurus Perhubungan Awam, Aisyah memikul tanggungjawab untuk mengekalkan reputasi dan nama baik syarikat, baik dalam aspek promosi mahupun iklan. Jadual hariannya sentiasa padat dengan temu janji bersama golongan media, artis serta pihak korporat seperti agensi kerajaan, bank dan NGO. Timbul tanda tanya, apakah reaksi Aisyah bila berhadapan persepsi orang ramai yang selalunya memandang rendah pada individu bertudung?

“Selepas mula bertudung secara sepenuh masa pada Hari Raya Haji dua tahun lepas, saya rasa lebih lega dan yakin. Perasaan ini berbeza dengan perasaan ketika masih bertugas di sektor perhotelan dulu. Saya perlu akur pada polisi hotel yang tidak membenarkan  kakitangan bertudung. Jadi hasrat tersebut terpaksa ditunda sehinggalah saya melangkah ke organisasi Avon.

Di sini, saya bertuah kerana syarikat tidak mengenakan sekatan kepada kami untuk bertudung malah saya fikir, kini saya dapat lebihkan banyak masa untuk agama. Alhamdulilah selepas saya buat solat istikharah, hajat saya dipermudahkan. It’s time for me to change dan Allah pun sudah buka jalan- Nya.” Katanya lembut.


TENTANGAN

Setiap perubahan pasti tidak akan lepas daripada dugaan. Menurut Aisyah, keputusannya untuk menyarung tudung pernah mendapat tentangan keras daripada keluarga kandung, termasuk bapa tersayang. “They are not so encouraging. They don’t understand why some born muslim no need wear tudung but me as a convert has to do so. Mereka memang tak suka melihat perubahan imej ini.

Tapi saya akan selalu cakap, I’m still the same me . Pakai tudung atau tidak, hati saya masih sama. Saya tetap anak mereka. Cabaran bertudung ini sememangnya sangat besar, sampaikan bapa dan adik saya menentang kedatangan saya bila kami sekeluarga pulang ke Johor. Apa yang saya termampu buat, hanyalah bersabar. Pernah saya bertemu ustaz untuk mendapatkan nasihatnya. Dari situ, saya kembali membulatkan hati untuk terus tabah. Katanya saya harus bertindak perlahan-lahan dan terus menjaga hati ibu bapa seperti biasa.

Jadi setiap kali pulang ke kampung, saya akan membuka tudung dan hanya duduk di rumah untuk menyenangkan hati mereka.”


RUJUKAN

Sebagai pendatang baru, Aisyah banyak membuat rujukan gaya menerusi majalah Muslimah seperti Nur dan juga melayari blog-blog tudung. “Seseorang itu perlu faham bahawa memakai tudung adalah kewajipan dan bukan semata-mata nak ikut trend. Yes, we can be trendy tetapi niat kena betul.

Saya masih seorang yang trendy dan mengikut peredaran zaman. Penampilan saya selalu dipengaruhi kesesuaian majlis, khasnya dengan Avon, kami sentiasa ada pelbagai events yang menarik dan memerlukan kod pakaian berbeza-beza. So, I will dress according to the theme. Kalau bercuti, gaya saya lebih kasual kerana bersama anak-anak kecil, jadi saya memilih pakaian seperti T-shirt dan jeans.”

Sumber: nona



Kebaikan Cuka

on Friday 7 September 2012


Bersabda Rasulullah S.A.W., “Sebaik-baik hidangan makanan ialah Khal. Ya Allah berkatilah pada Khal, sesungguhnya Khal adalah makanan nabi-nabi terdahulu sebelum aku dan jangan terputus Khal dalam suatu rumah.” (Hadis riwayat Muslim 2052, Ibnu Majah 3318)


APA ITU KHAL? KHAL adalah nama dalam bahasa Arab bermaksud suatu bahan daripada buah-buahan seperti tamar (kurma), epal, anggur, dan tin (fig) yang disimpan atau diperam dalam jangka masa tertentu, bertukar dari jus buah menjadi alkohol, seterusnya menjadi yis, bertukar menjadi asid asetat, dan akhirnya menjadi KHAL, dalam bahasa Inggeris dipanggil vinegar.
Kajian kepada kitab-kitab perubatan Islam juga ada menyatakan KHAL telah diamalkan sejak dari nabi-nabi dahulu sebelum Nabi Muhammad (S.A.W) lagi. Masyarakat Babylon (sekitar 500 BC) juga telah menukar wain kepada KHAL dengan menggunakan buah anggur, kurma dan tin (fig). Hippocrates juga telah mengggunakan KHAL sebagai antibiotik dan tonik. KHAL juga digunakan oleh pejuang-pejuang silam bagi meningkatkan kekuatan badan. Selain orang Arab, KHAL telah dipraktikkan semenjak berabad oleh kebanyakan penduduk Eropah, Jepun, Cina dan India.
Kepada yang sudah terkena penyakit, Rasulullah (S.A.W) pernah bersabda yang bermaksud:
“Setiap penyakit ada ubatnya.”
Tetapi Rasulullah (S.A.W) tidak menyatakan secara khusus penawar sesuatu penyakit, oleh yang demikian mari kita beramai-ramai mengamalkan pemakanan cara nabi Muhammad S.A.W dalam masa yang sama kita mengamalkan “MAKANAN KESIHATAN SUNNAH PARA NABI-NABI” sebagai suatu ibadah dalam penyembuhan dan meneruskan warisan ulama’ perubatan Islam. Perlu diingat KHAL diamalkan secara meluas sejak turun temurun oleh bangsa Arab. Mungkin sebab tu seekor kambing makan pun tak kena darah tinggi.
Khasiat Khal Menurut Perubatan Islam:-
Menerusi kitab Al-Qanun Fi Al-Tib (Ibnu Sina) & Al-Tib Al-Nabawi (Ibnu Qaiyyim), cuka :-
1. dapat mencegah berlakunya pembengkakan pada badan seperti bisul & kanser
2. membuang darah kotor & melancar aliran darah
3. mangatasi proses pencernaan makanan dalam perut
4. melancarkan pergerakan usus
5. merawat masalah kerongkong, kahak & batuk yang berpanjangan
6. memelihara kulit dari kesan kepanasan matahari
7. menurunkan tahap kolesterol
8. mengimbang tahap asid-alkali dalam badan & mengeluarkan lebihan garam
9. membakar kalori dengan cepat
10. membuang toksin
11. merawat masalah rahim, menguatkan gigi, deria mata & telinga
12. penyerapan kalsium lebih sempurna – menguatkan tulang
13. mengubati masalah gastrik akibat asid berlebihan dalam perut
14. merawat masalah hempedu (membersih hempedu dari lemak yang membentuk batu)
15. mencegah berlakunya keracunan akibat penggunaan ubat-ubatan yang pelbagai
16. melancarkan pengeluaran susu ibu
17. melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (masalah gangguan haid)
18. memperbaiki fungsi limpa
19. menghilang masalah dahaga & mengurangkan panas badan
Antara yang utama, cuka dapat membantu membuangkan kolesterol dan lemak di dalam badan terutamanya pada sistem usus di perut, lemak di saluran jantung, lemak di buah pinggang, membaiki fungsi buah pinggang, dan lemak berlebihan yang boleh membawa pelbagai penyakit dengan cara memulihkan sel-sel organ badan.
Kaedah Pemakanan
KHAL boleh diminum diminum dua kali sehari selepas makan pagi dan malam sebelum tidur. Sebelum diminum hendaklah terlebih dahulu dibaca Al-Fatihah (1x), selawat keatas Nabi (saw) (3x), mohon KHAL diberkati dan akhirnya mohon agar disembuhkan penyakit yang dialami. Jika masam boleh diminum dengan campuran madu.
KENAPA KHAL DARIPADA BUAH TAMAR (KURMA)? Khasiat kurma terlalu banyak untuk kesihatan badan. Di antara hadis Nabi S.AW ialah:
Terjemahannya: Terdapat di dalam hadis As-Shahih dari Nabi S.A.W, “Sesiapa yang makan tujuh buah tamar (kurma) di pagi hari (dan menurut satu lafaz: tamar dari Al-Aliyah) maka dia akan selamat dari bisa, racun dan sihir pada hari itu.” (Dikeluarkan oleh Imam Bukhari 10/203, dan oleh Imam Muslim)

Kebaikan buah tamar disebut sebagai makanan yang dapat mengubati masalah darah, masalah usus, masalah hati, hempedu, lemah jantung, menambahkan air mani, masalah kerongkong dan mulut, menambahkan nutrisi tubuh badan, mematikan kuman (bakteria), masalah migrain dan penawar racun dalam badan yang sangat baik.



Suatu hari ketika berada di klinik swasta
aku ditegur wanita sebaya
katanya mengapa batuk begitu lama
kataku aku ada masalah asma
katanya dia dulu pun ada penyakit yang sama
katanya minumlah cuka kurma 
dengan izinNya lelahnya hilang entah ke mana
keluar dari klinik
kucuba mencari cuka kurma
kerana ada berkah di dalamnya

Buat Duit Dengan Churp Churp
Buat Duit Dengan Says

Motivasi: Tahu-Tahu Dah Terluncut Pakaian

on Tuesday 4 September 2012






Assalamualaikum, makcik hairan dari mana wanita-wanita, bini-bini orang dengan mudah dapat nombor telefon bimbit Tuah yang sepatutnya privacy dan rahsia? Sepatutnya wanita-wanita itu kalau nak mengadu pun seeloknya pada ustazah (sekarang ramai) atau kawan-kawan perempuan yang lebih arif, bukan dengan suami orang, walaupun pakar motivasi. 

Tapi mungkin Tuah suka sebab nak bantu atau nak jadikan idea atau modal untuk buku motivasi terbaru.

Mengapakah orang boleh berbuat sesuatu yang memalukan? Apakah dia tidak malu? Jawapannya, dia malu tetapi pada saat itu malu telah tercabut dari dirinya. Dalam istilah lain, tidak malu sudah menjadi terlalu besar lantas menjadikan sifat malu terlalu kecil.

Ini dipanggil lupa diri. Misalnya ketika terlalu suka, terlupa hingga bergolek-golek di atas jalan raya; oleh terlalu sedih tidak sedar telah menangis hingga mencabar-cabar Tuhan; ketika terlalu cinta tidak sedar pakaian telah terlucut habis.

Inilah antara keadaan yang akan terjadi apabila seseorang itu dalam keadaan terlalu. Sebenarnya sebelum terjadinya lupa diri seseorang itu akan lupa, lupa-lupa, buat-buat lupa, konon telah lupa, cuba lupa tetapi kesemuanya tidak berjaya. Definisi lanjut tentang lupa diri ini ialah;

1. Apabila seseorang itu dalam keadaan terlalu, sama ada seronok ataupun sedih, arus yang melingkari tubuhnya ialah arus beta. Arus ini adalah arus semangat yang diperlukan dalam mengejar impian tetapi oleh terlalu besar impian, apabila gagal menjadi amat sedih. Inilah yang dikatakan lupa diri. Sesetengah orang dalam keadaan ini boleh membunuh diri.

2. Seseorang itu juga akan lupa diri apabila menghadapi masalah mental. Masalah ini akan membuatkan seseorang itu tidak mampu menimbang, mempersepsi atau menilai sesuatu mengikuti kebiasaan manusia. Mentalnya memberikan gambaran yang berbeza, maka itulah terkadang kita lihat orang gila tahan berada di tengah panas yang terik atau ketawa tatkala patutnya bersedih. Ketika itu otaknya sudah tidak dapat membuat penilaian yang betul. Dalam keadaan begini arus yang melingkari tubuhnya adalah arus theta.

3. Seseorang apabila dirasuk oleh pengaruh mistik misalnya jin atau syaitan, akan lupa diri. Apabila tubuhnya telah diresapi makhluk-makhluk halus tersebut dia bukanlah dirinya lagi. Yang berada di situ adalah makhluk-makhluk halus berkenaan, jadi yang bercakap bukan dia tetapi makhluk halus itulah. Ia memperalatkan tubuh manusia yang dimasukinya itu untuk terus berbuat jahat. Dalam keadaan begini, arus yang melingkari orang yang dirasuki itu adalah delta.

Lupa diri adalah keadaan yang teruk. Bukankah teruk seorang yang ada kelulusan tinggi tetapi terlupa diri hingga berkhalwat dengan pasangan yang haram hingga berzina? Bukankah teruk seorang yang berpendidikan agama hingga digelar ustaz tetapi bersikap kasar dengan ibu ayahnya sendiri? Bukankah teruk orang yang sudah beristeri empat tetapi masih hendak menggoda wanita lain? Apa yang anda boleh lakukan supaya tidak lupa diri dalam keadaan apa pun?

1) Berusahalah supaya anda tenang selalu. Kerap kenakan tubuh pada air seperti membasuh muka, wuduk, ataupun mandi. Setelah anda berwuduk eloklah diteruskan dengan solat sunat dua rakaat supaya semakin tenanglah anda jadinya. Dalam keadaan begini, arus yang melingkari tubuh anda ialah arus alpha.

2) Tarik nafas dalam-dalam dan selalu. Ketika anda terasa seperti akan lupa diri, buatlah begini, ia membantu anda mencapai ketenangan yang diharap-harapkan, kerana udara yang dihirup secara penuh itu akan membuatkan saraf-saraf kecil juga berudara. Udara diperlukan oleh sel otak untuk terus berkembang dengan sempurna.

3) Setiap kali akan berasa hendak lupa diri, penatkan diri dengan riadah yang sesuai, dengan itu otak anda akan menolak apabila diajak bertindak perkara-perkara yang salah.

join says.com

 
© Celoteh Lee Aziz All Rights Reserved