Iklan Sat

Kembali Dara

Kembali Dara

Tiada Manusia Tanpa Peminat

on Friday 30 November 2012



Siapa pun kita, bagaimana pun rupa kita, apa pun kedudukan kita, kita pasti ada peminatnya. Tak usahkan kita yang memang okey, si perompak yang berwajah buruk dan ternyata jahat itu pun ada peminatnya.

Malah si perompak ini ada peminat-peminatnya yang sangat fanatik. Bukan dia tidak tahu susahnya bekerja seperti itu, dia tetap taat pada ketuanya. Kadang kadang oleh kesalahan yang kecil, hukuman diberikan, namun dia tetap setia. Apa maknanya itu semua? Maknanya, kalau dah minat memang susah.

Tiada hujah yang dapat merubah. Itu juga bermakna kalau sudah minat bukan kisah siapa yang diminati. Banyak terjadi gadis kampung tiba-tiba dipinang oleh jejaka dari jauh, bukan sahaja hensem tetapi juga kaya. Apa istimewanya?

Kita tengok tiada apa-apa yang luar biasa, malah ada ramai lagi yang lebih hebat dan cantik dari gadis itu di kampungnya. Oleh itu berhati-hatilah. Usah anggap diri anda tiada istimewanya lantas tiada sesiapa meminati.

Kes rogol bukan hanya terjadi ke atas gadis yang cantik, malah nenek yang telah kerepot pun boleh dirogol. Kes orang hilang terutamanya melibatkan gadis amat membimbangkan iaitu 1,097 sepanjang 2011.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, ini bermakna seramai 691 orang masih gagal ditemui dengan sebahagian besar daripadanya kerana lari mengikut kekasih.

Tidak terkecuali diculik oleh secret admirer yang tidak pernah diduga. Usah ingat hanya wanita sahaja yang diculik oleh peminatpeminat gelap mereka malah lelaki juga.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan daripada keseluruhan orang hilang pada tahun 2011 itu, 371 adalah lelaki. Jumlah tertinggi orang yang masih hilang adalah anak gadis berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Sama ada kehilangan itu berpunca dari menghilangkan diri kerana mengikut kekasih atau dihilangkan oleh kekasih, atau diculik oleh orang yang meminati, itu semua membuktikan setiap manusia ada peminat-peminat mereka yang tersendiri.

Sedar atau tidak peminat-peminat ini adalah terdiri daripada mereka yang pernah dikenali oleh mangsa, atau sekurangkurangnya pernah memperkenalkan diri untuk berkenalan, bermakna pernah muncul di depan mata tetapi apabila tidak mendapat respons, maka bertindaklah yang bukan- bukan.

Ada keistimewaan

Usah sangka peminat-peminat anda hanya manusia yang boleh dilihat dengan mata, sebahagian daripada mereka adalah makhluk yang tidak kelihatan di alam nyata. Misalnya, seorang gadis di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bahru, meskipun sudah menggunakan khidmat 70 orang bomoh, api misteri tetap mengganggunya.

Ia mungkin bermaksud gangguan tetapi mungkin juga bermaksud ‘minat’. Tentu ada sesuatu yang istimewa hingga hanya keluarga ini yang ‘diganggu’ dan orang lain tidak. Malah, api berkenaan muncul di dalam sebuah bilik ketika Menteri Besar Kelantan sedang mengadakan solat hajat di ruang tamu rumah mereka.

Dalam hidup ini, kita kena akui bukan semua yang meminati kita berniat baik ataupun orang baik, kadang-kadang merekalah punca hidup kami bergelumang dengan dosa.

Seorang kekasih gila seks misalnya akan menjadikan orang yang diminatinya itu berdosa besar kerana akhirnya melakukan seks haram setelah tenggelam diminati.

Demikian juga makhluk-makhluk ghaib yang meminati kita tanpa kita sedari, tentunya mereka juga ada agenda yang tidak kita ketahui.

Andainya anda masih menyangka tiada sesiapa meminati anda, mahupun pedulikan anda, ketahuilah Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayah- Nya kepada sesiapa yang mencintai-Nya.

Sedangkan orang yang ingkar sentiasa mendapat nikmat dan rahmat, inikan kita yang sentiasa memperhambakan diri kepada-Nya, pasti tidak terkecuali. Cuma, terkadang cara Allah mengasihi kita dengan diberinya kita ujian hingga kita menyangka Allah tidak pedulikan kita lagi.

Hakikatnya, tiada manusia bebas dari hembusan rahmat Allah dan perhatian manusia. Oleh itu, tatkala anda berasa sunyi keseorangan ketahuilah ada yang sedang memerhati anda. Oleh itu, hargailah diri anda sentiasa dengan iman yang sesungguhnya.

Sumber: mingguanwanita

Lelaki Tanpa Ereksi - Gagal

on Thursday 22 November 2012



Maaf, kali ini saya bercakap sesuatu yang jarang orang mahu memperkatakannya, apalagi di media tambahan pula saya seorang lelaki. Tetapi setelah saya timbang-timbang saya dapati saya perlu berterus terang untuk menyelamatkan hubungan kelamin ramai orang.

Ini adalah ilmu yang terpaksa kita terokai, kongsi dan kuasai, sebagaimana ilmu-ilmu lain yang juga kita perlu ketahui. Ia adalah tentang ereksi. Tidak sedikit yang mengadu pada saya soal ini, bukan setakat lelaki malah wanita juga.

Kalau wanita selalunya mereka daripada kalangan yang baru berkahwin tetapi pasangan tidak mendapat ereksi yang cukup menyebabkan malam-malam yang dilalui menjadi detik-detik kekecewaan.

Apa itu ereksi dan mengapa lelaki boleh gagal mendapatnya? Ada banyak sebab, tetapi yang jelas itu adalah petanda tidak sihat. Ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.

Ini bermakna saluran darah mestilah tidak terganggu atau tersumbat. Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.

Tahukah anda, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah. Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.

Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optimum dan ereksi optimum. Tahap tiga dan empat sahaja mampu melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual. Apa yang menyebabkan ini terjadi? Apakah kerana usia? Bukan, bukan itu sebabnya.

Usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi seseorang lelaki. Buktinya, orang tua yang menghampiri 100 tahun pun masih ada nafsu untuk berkahwin lagi.

Orang tua melepasi 70 tahun pun masih menjadi perogol dan terangsang melihat wanita seksi. Tetapi tidak pula bermakna jika orang muda tidak terasa apa-apa sewaktu melihat wanita seksi sebagai lemah tenaga batin, ia mungkin disebabkan kefahaman agamanya tinggi, lantas nafsu syahwatnya dapat dididik.

3 tip mudah dapat ereksi

Baiklah, tiga tip bagaimana hendak mendapat ereksi penuh secara mudah. Cuba lakukan, andainya tidak berjaya, bukan teknik yang tidak kena tetapi anda hanya perlu membiasakan diri.

1. Berusaha sihat

Sihat yang saya maksudkan ialah sifat mental, fizikal dan spiritual, luar dan dalam. Andainya ketiga-tiga unsur ini berada pada paras yang okay, ereksi akan mengambil tempat dengan sendirinya. Jadi, rawatan pertama pada masalah ini ialah sihatkan dulu keseluruhan diri anda. Orang demam memanglah tiada nafsu, contoh mudah, bukan? Jadi, lakukan senaman paling tidak tiga kali dalam seminggu.

2. Bermain imaginasi

Bolehkah anda bermain imaginasi dahulu sewaktu hendak bersama? Bolehkah anda bayangkan pasangan sewaktu mudanya dahulu, sewaktu pertama kali anda melihatnya lalu jatuh cinta dan juga terangsang apabila mengangan-angankannya? Latihlah diri anda berimaginasi tinggi serupa ini sambil meminta pasangan anda itu memainkan peranannya pula seperti merawat wajah, tubuh, penampilan agar anda berasa kagum kepadanya sentiasa. Buku ‘Membina Imaginasi Cemerlang’ boleh membantu.

3. 3E Best

Menyapu minyak ini ke seluruh badan akan membantu tubuh kembali pada asal. Tiada jaminan ini akan terjadi, tetapi tidak salah mencuba. 3E Best adalah formulasi seribu satu kegunaan yang telah merealisasikan impian ramai orang. Siapa tahu masalah ereksi anda di sinilah jawapannya. Selamat berprestasi cemerlang agar hari-hari yang mendatang bukan lagi ketakutan.

Sumber: mingguanwanita

Boleh Bergurau Itu Tanda Serasi

on Friday 16 November 2012



Setelah saya berikan banyak tip untuk menilai seseorang itu sama ada serasi ataupun tidak dengan kita, masih banyak lagi persoalan diajukan kepada saya.

Nampaknya susah juga untuk mereka aplikasi apa yang saya beritahu itu. Maka saya pun berfikirlah bagaimana hendak memudahkan perkara ini supaya lebih mudah membina keserasian atau lebih mudah melihat seseorang itu serasi ataupun tidak dengan kita.


Sebenarnya, apabila seseorang itu boleh bergurau dengan kita dia adalah serasi. Mudahkan? Ya, terlalu mudah. Apabila seseorang itu boleh bergurau senda dengan kita tanpa masing-masing mengambil hati itu tandanya ada chemistry, serasilah tu.


Macam mana misalannya? Hmmm, katalah kita bertemu seseorang setelah diperkenalkan oleh seseorang yang menjadi kawan kita. Tidak lama selepas berkenalan itu, dia mula bergurau dengan kita dan kita juga boleh bergurau dengannya.


Gurauan dia membuatkan kita tertawa dan gurauan kita juga begitu. Kadang-kadang gurauan kita agak ‘over’ tetapi dia tetap menganggapnya gurauan semata-mata, langsung tidak disimpan di dalam hati. Antara dua orang yang baru bertemu, apabila kedua-duanya sudah boleh bergurau dan tertawa bersama-sama itu adalah petanda serasi.


Jika dipupuk lama kelamaan gurauan akan menjadi mainan, tanpa gurau senda bukan dialah tu. Itu tandanya akan menjadi kawan baik kita, lama kelamaan akan menjadi sahabat.


Andainya orang itu adalah orang yang berlainan jantina dengan kita, tetapi kita senang mendengar gurauannya ataupun kita dapat tangkap gurauannya itu semata-mata untuk menarik perhatian kita ataupun sekadar untuk membuatkan kita tertawa, dia adalah serasi.


Sambut sahajalah gurauan-gurauannya itu, kelak dia akan benar-benar rapat dengan kita. Jika orang bergurau disambut dengan ketawa, itu samalah macam positif bertemu negatif akan mengalirkan elektrik.


Pasangan bahagia banyak ketawa

Pada kawan karib kutukan juga ada nilai persahabatan. Lagi kuat dikutuk makin kuat ketawanya, ya itu serasi. Sepasang kekasih kalau boleh bergurau perkara-perkara yang agak sensitif itu juga petanda serasi.

Bila sudah jadi suami isteri kekalkan sahaja bergurau senda itu, usah terlalu mudah menyimpan hati, yang susah sendiri juga, yang sakit hati sendiri juga. Pasangan yang bahagia adalah pasangan yang banyak ketawa. Mereka boleh bergurau senda malah isu-isu sensitif, misalnya, “Apa punya nasib, kahwin dengan wanita kejam, tengah-tengah hari buta suruh basuh karpet. Kalau tahu macam ni, tak kahwin pun tak apa. Kahwin dengan anak Minah Ronggak dulu tu lagi baik.”

“Ha. Kalau kahwin dengan anak Minah Ronggak, bukak kedai dobilah abang tau. Hari hari cuci karpet.”

Kan boleh ketawa tu, tapi kalau dijawab,“Apa? Ini yang saya tak suka ni, abang ni memang gatal, memang miang. Kalau syok sangat dengan anak Minah Ronggak tu, kenapa gatal-gatal pinang saya pulak? Kalau macam ni ceraikan saja saya. Hantarkan saya balik!” lalu menangis melahu-lahu. La pulak.

Sebuah rumah tanpa gurau senda akan hilanglah serinya. Bayangkan suami diam isteri juga begitu. Bercakap hanya hal-hal rasmi. Kalau tidak ada hal mustahak hendak dicakapkan, masing-masing diam sahaja. Aduh, lemas tinggal dalam rumah macam ni.

Saya sering bergurau dengan isteri kadangkadang hal yang patut dia marah, tetapi dia selalu sambut dengan ketawa sahaja ataupun paling tidak dia membalikkan kata-kata saya itu, ‘selepuk’ ke muka saya, kemudian menyambung dengan ketawa.

Di luar saya ada beberapa orang kawan yang boleh bergurau ‘kaw-kaw’ dengan saya dan demikian juga saya dengan mereka. Kadangkadang gurauan kami tidak lain kutuk mengutuk tetapi semuanya diselang seli dengan ketawa.


Bila rasa lama tak mengutuk orang carilah mereka, lepaskan, kutuk sesama sendiri depan depan dan terang-terang, nanti akan dapat yang sama.

Kan best macam tu. Jadi, tunggu apa lagi, cuba bergurau dengan pasangan anda itu, andainya dia menyambut dengan gurauan juga, bahagialah hidup anda sebab itu tandanya serasi.


Sumber: mingguanwanita

Was-Was Undang Sengsara

on Tuesday 13 November 2012

Bersama LT. KOL. (DR.) LOTFI  ANUAR
Pakar Perunding Klinikal Psikiatri, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

SAYA bertemu seorang lelaki awal 30-an yang mengadu mengalami masalah was-was sehingga segala urusan kehidupan seharian termasuk ibadah terganggu.

Perasaan was-wasnya bermula secara kebetulan semasa awal remaja apabila terlupa mengunci pintu rumah dan dimarahi ibu.

Semenjak itu, lelaki ini kerap tertanya-tanya sama ada dia sudah mengunci pintu rumah setelah keluar.

Sehinggalah dewasa, keadaan lelaki ini semakin teruk sehingga terpaksa pulang ke rumah beberapa kali selepas sampai di pejabat semata-mata untuk memeriksa kunci pintu.

Tombol pintu rumahnya juga terpaksa ditukar kerana rosak akibat selalu disentak dengan kuat semasa diperiksa.

Begitu juga apabila membasuh tangan atau mandi, dia akan mengambil masa sehingga dua ke tiga jam.

Walaupun telah dibasuh dengan bersih, rasa was-was itu masih wujud sehinggakan dia terpaksa mandi semula beberapa kali dalam satu-satu masa. Akibatnya dia selalu terlewat ke tempat kerja.



Walaupun tangan telah dibasuh degan bersih, bagi pesakit OCD perasaan was-was itu masih wujud.

Ibadah solat juga terganggu. Dia mengambil masa yang lama untuk berwuduk dan selalu was-was bilangan rakaat dalam solat. Dia juga mengulangi solat yang sama berkali-kali.

Di tempat kerja, majikan selalu merungut kerja yang diberi terlalu lambat disiapkan. Ini berlaku kerana dia membuat tugasan tersebut berulang-ulang kali juga.

Setiap kali tugasan siap, akan ada perasaan was-was yang menyebabkannya terpaksa memadam keseluruhan hasil kerja dan memulakannya semula.

Hari ke hari dia menjadi semakin tertekan. Sekarang dia memutuskan untuk tidak lagi bersolat atau mandi kerana tidak tahan memikirkan perasaan was-was tersebut.

Dia mudah meradang dan akhirnya dibuang kerja kerana terlalu kerap ponteng.

Penyakit was-was dalam istilah perubatan psikologi dikenali sebagai obsessive compulsive disorder (OCD).

OCD adalah sejenis penyakit gangguan jiwa. Penderita penyakit ini biasanya mengalami gangguan pemikiran berulang-ulang dalam bentuk was-was.

Pemikiran ini akhirnya membawa kepada perbuatan berulang-ulang seperti membasuh tangan, mandi, memeriksa kunci pintu dan lain-lain.

Pesakit OCD juga terlalu cerewet dengan isu kebersihan. Ada pesakit yang enggan mengambil wang kertas yang jatuh ke lantai atau membasuh telefon bimbit berulang kali sehingga rosak semata-mata untuk membuang kekotoran.

Selain was-was, pesakit juga boleh dihantui perasaan bersalah atau gangguan imaginasi.

Sebagai contoh, ada pesakit yang dihantui perasaan bersalah akibat membayangkan diri melakukan perbuatan jijik yang tidak masuk akal seperti membuang air atau membuat hubungan seks di dalam surau atau masjid walhal perkara itu tidak pun dilakukannya.

Dianggarkan satu daripada 50 orang di Amerika Syarikat menghidap penyakit OCD. Jumlah ini dijangka lebih ramai kerana angka ini tidak termasuk mereka yang tidak mendapatkan rawatan secara formal.

Orang sekeliling juga boleh menjadi mangsa. Jika di pejabat, kakitangan bawahan akan menjadi objek obsesi.

Kerja yang diarah perlu dibuat berulang-ulang kali walaupun telah sempurna dilakukan. Susun atur pejabat tidak boleh berubah walaupun seinci dan sebarang kesilapan kecil pasti mengundang amarah yang sangat besar.

Kakitangan juga akan dikenakan undang-undang pelik yang di luar skop kerja. Lebih malang sekiranya mereka juga disuruh membasuh tangan berulang-ulang kali selepas mengambil pen yang terjatuh di lantai.

Nah, sekarang bayangkan pula bagaimana sengsara pasangan di rumah yang terpaksa hidup dengan orang sebegini selama berpuluh-puluh tahun?

Rawatan

Pesakit OCD tahu perbuatan yang mereka lakukan itu bodoh dan tidak masuk akal . Mereka marah jika ada orang berkata mereka tidak mampu  mengawal perbuatan sendiri.

Walhal mereka sebenarnya yang tidak mampu melawan pemikiran was-was tersebut.


Kaedah rawatan paling baik adalah pendekatan secara menyeluruh.


OCD sama seperti penyakit murung, ia disebabkan oleh kekurangan neurotransmitter yang di panggil serotonin.


Oleh itu, pesakit OCD juga mudah mendapat kemurungan. Penggunaan ubat antidepressant  seperti SSRI (contohnya fluoxetine) dalam dos tinggi sangat membantu dan kesannya boleh di lihat selepas enam minggu.


Pesakit juga boleh diberi psikoterapi untuk mengurangkan sensitiviti terhadap pemikiran obsesi yang keterlaluan.


Untuk memperbetulkan ibadah, pesakit di nasihat mendapatkan nasihat keagamaan sama ada fikah atau tauhid daripada sumber yang betul.



 Di petik dari Mingguan Malaysia sisipan Pancasihat 04.11.2012




[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.  

[2] “Yang Menguasai sekalian manusia,  

[3] “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,  

[4] “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -  

[5] “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -  

[6] “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

 (An-Naas: 1-6)

Madah Pujangga Dr. MAZA

 Inline image 1


Daripada Abu Sa’id Al-Khudriy R.A daripada Nabi S.A.W sabdanya, “Sebaik-baik perjuangan ialah bercakap benar di sisi sultan (pemerintah) yang zalim.” (HR Abu Daud dan Tirmizi)


Apabila Jiwa Kita Di Tangan Orang Lain

on Thursday 8 November 2012



Jika anda merasakan tiada sesiapa meminati anda, sebenarnya ada. Sama ada anda sedar atau tidak sahaja, ataupun sama ada pertemuan itu telah berlalu atau bakal terjadi, itu sahaja. Apakah itu bermakna kita harus membaca setiap pandangan orang terhadap kita?

Menilainya apakah itu bermakna suka, sayang atau cinta? Tidak, kita tidak perlu sampai berbuat begitu. Tetapi rasailah gerak hati kita sendiri. Apabila anda merasakan seolah-olah angin menerpa halus ke pipi, atau seolah-olah berada di awang-awangan, atau alam dirasakan indah tiba-tiba, itulah antara tanda-tandanya.


Ia mungkin getaran suka yang mula berbisik atau gemersik sayang yang tiba-tiba menjengah ataupun hembusan cinta yang mula membelai. Apabila anda rasakan begini, berikanlah reaksi yang betul, iaitu menyembunyikan perasaan anda walaupun sebenarnya akan terlihat juga.


Anda akan terketar-ketar untuk bercakap, tubuh terasa panas ataupun mungkin juga berpeluh sedangkan suasana dingin. Jika suka dan anda dapati orang itu seorang yang baik lagi beriman, lamakan sedikit pandangan anda ketika akanberpisah. Jika dia merasakan yang sama, dia pasti akan menghubungi anda.


Dia tahu di mana hendak mencari anda. Dia tahu bagaimana hendak menghubungi anda, di mana anda tinggal, siapa kedua ibu bapa anda dan kesemuanya. Tunggu sahajalah, dia pasti datang. Sepanjang itu anda akan berasa serba tidak kena, kadang kadang anda tersenyum sendiri, kenapa semuanyakelihatan berwarna warni?


Yang jelas seperti ada bunga di hati anda. Ia mekar dan harum mewangi. Tetapi awas, perasaan begini akan bertukar menjadi sakit. Anda sendiri tahu sebab-sebabnya, bukan? Jika tiada apa-apa berlaku sehari dua hingga seminggu lamanya, tandanya getaran itu tidak bergetar juga di jiwanya.


Namun, berbanggalah sebab anda sudah pun menikmati cinta. Perasaan cinta ini sangat indah dan ia tidak akan sama jika peristiwa seperti itu berulang nanti.


Anda akan ingat rasa indah ini sampai bila-bila. Ketahuilah ia satu nikmat yang diberikan kepada setiap manusia sama ada rasa cintanya itu berbalas ataupun terhenti. Andainya begitulah yang terjadi, katakanlah pada diri;


Aku mula berlari
Sepantas angin menderu
Tanpa menoleh tanpa suara
Aku ingin berlari sejauhnya
Kerana selagi ada kamu
Hidupku gelisah
Jiwaku tak tenang
Kau sering buatku alpa
Dalam dakapanmu
Telah lama jiwaku sirna
Kaku dalam penyesalan
Biarpun kau ada jiwaku
Terasa kosong
Kasihmu tak memberiku cahaya
Tak menerangi hidupku
Teruja aku melakar senyum
Tika cahaya-Nya membias
hatiku
Sambutan-Nya masih sama
Merenjis air mata tika sujud pada-Nya
Terlerai sejuta rindu
DIA masih setia menunggu
aku kembali
Biarpun terlalu lama
Aku terlupa menyebut
nama-Mu
Ya Allah


Sumber: mingguanwanita



Sahabat

on Tuesday 6 November 2012



Waktu senang kawan kenal kita, waktu susah kita kenal siapa kawan kita.





Direkodkan oleh Anas R.A, daripada Nabi S.A.W sabdanya, “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Wanita Yang Kepala Menyakitkan

on Saturday 3 November 2012


Satu hari saya ditemu ramah secara langsung di radio, isunya tentang akal dan rupa, yang mana pilihan hati? Spontan saya menjawab rupa. Deejay yang mengajukan soalan terkejut lalu memprovokasi dengan ‘soalan maut’. “Mengapa Dr.? Bukankah kecantikan itu tidak kekal sedang kebijaksanaan penentu kejayaan?”

Kata saya, “bagaimana anda mengukur sesuatu kecantikan itu? Apakah hidung yang mancung, muka yang bujur, rambut yang mengerbang, kulit yang putih? Kalau begitu mengapa ada orang berkahwin dengan orang yang berhidung pesek, muka empat segi, rambut yang berketak-ketak serta kulitnya hitam, dan dia menganggap itulah yang dikatakan cantik?


“Bukankah ini membuktikan cantik itu subjektif, lain orang lainlah cara penilaiannya, malah cantik pada pandangan ALLAH adalah iman yang berada di dalam tubuh, bukannya wajah yang memukau.” “Jadi apa alasannya untuk memilih rupa?” “Kalau orang baik selalunya terpapar oleh wajahnya yang bersih. Kalau baik di dalam biasanya terpancar di luar. Itu bermakna kita kena jaga rupa baik-baik supaya apabila orang melihat wajah kita orang boleh gambarkan hati kita.”


“Oh, begitu pula.” “Wanita bukan tak cantik. Semua wanita adalah cantik. Kalau serabut dan serabai manalah datangnya cantik tu, tapi cuba rawat sikit-sikit wajah, kenakan mekap yang sesuai pasti nampak ayu. Wanita yang solehah selalu terpancar pada wajahnya yang anggun.” “Tapi wanita yang bodoh tidakkah menyusahkan hidup Dr.?” “Kalau terlebih pandai lebih susah lagi. Bayangkan kelulusannya lebih tinggi, gajinya lebih besar, kedudukannya juga begitu. Wanita yang kurang pintar selalunya mahu diajar, mahu mengikut, menerima apabila ditegur.” “Hmmm, boleh Dr. jelaskan lagi?”


Lalu saya lanjutkan lagi bahawa sebenarnya rupa dan akal selalu disinonimkan bersama. Andainya seseorang lelaki itu ada rupa dia selalunya disinonimkan sebagai berakal juga sebagaimana yang selalu dipaparkan dalam filem. Bukankah seorang hero pastinya dia juga adalah seorang yang kuat, pintar, berkarisma dan lain-lain? Sedangkan wanita tidak begitu. Wanita cantik disinonimkan berbeza, selalunya sebagai pisau cukur, ibu tiri, kejam, queen control, ikut perasaan, tidak terlalu bijak, gopoh dan sering tertipu cinta.


Dalam filem wanita begini selalu digambarkan mengalami kehidupan yang dramatik. Ada-ada saja masalah dalam hidupnya, kadang-kadang jadi rebutan lelaki, kadang-kadang menjual diri, kadang-kadang bersikap buruk untuk harta dan macam- macam lagi.


Sebab itulah, kita tidak mahu cantik, semata-mata cantik menurut penilaian mata, tapi kita mahukan yang cantik jauh menelusuri keseluruhan dirinya menurut pandangan jiwa.


Dari Usamah bin Zaid RA bahawa Nabi SAW bersabda, “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.” “Jadi, mengapa Dr. memilih wanita yang begitu?”


“Macam saya kata tadilah, cantik soal subjektif. Anda mungkin melihat seseorang wanita sebagai cantik, mungkin tidak pada saya. Pada saya itu biasa saja sedang anda sudah tidak boleh tidur terlalu teringat ingatkannya. Saya menilai cantik itu oleh kecantikan yang terpamer di luar lantaran cantiknya ada di dalam. Ini bermakna mungkin ia bertentangan sama sekali dengan ukuran cantik yang anda faham.”


Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik- baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila dia melihatnya, yang taat kepadanya apabila dia menyuruhnya dan dia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.”


Wanita begini pastinya cantik di dalam, maka cantiklah di luar kerana yang lelaki sejati mahu ialah wanita yang menyenangkan mata melihat dan tak menyakitkan kepala dan ragamnya tak meluat.


Sumber: mingguanwanita


 
© Celoteh Lee Aziz All Rights Reserved