Ramai lelaki mendambakan tubuh berketul-ketul enam pek. Tetapi malangnya pengambilan makanan yang tidak teratur dan salah menyebabkan badan menjadi ‘berketul’ di satu tempat saja iaitu perut! Artikel ini mungkin membantu anda merealisasikan impian anda. Semuanya bermula dari pinggan.

PERATURAN PERLU TAHU
1. Makan seperti Raja pada sebelah pagi, makan seperti Putera pada waktu tengahari dan makan seperti pengemis pada waktu petang.
2. Ambil enam hidangan kecil untuk menjaga kestabilan tahap gula dan minum tiga hingga empat liter air setiap hari.
3. Ambil 150 gram protin setiap hari yang terdiri daripada daging merah kurang lemak, ikan, ayam, telur, susu atau tauhu. Badan anda menggunakan 20 hingga 30 peratus untuk menghadam protin untuk keperluan karbohidrat.
4. Jangan menahan lapar lebih dari tiga jam kerana badan akan menekan kapasiti untuk membakar kalori.
5. Elak mengambil makanan ringan setelah jam 11 malam.

PEMAKANAN YANG PERLU DIAMBIL
Ambil lima hidangan yang terdiri dari buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Pilih makanan tinggi karbohidrat sebagai sarapan setiap pagi seperti bubur, telur separuh masak atau terlu masak hancur (scrambled egg) bersama roti gandum bakar. Jika anda mahu makanan ringan sekalipun, kekacang, buahan kering dan bijian adalah pilihan tepat. Ambil lemak sihat setiap minggu seperti minyak ikan, kacang campuran dan bijian. Antara sayuran hijau yang terbaik di dalam menu anda pula adalah brokoli, kale, bayam, kacang hijau dan kubis.

Untuk memberi kesan pembentukan otot dengan lebih cepat, ambil minuman berprotin sejam sebelum dan selepas melakukan latihan. Pilih daging kurang lemak, beras perang, roti gandum, oat, kacang dan roti rai. Selain makanan, jangan lupa mengambil cecair saat membina abdomen six pack kerana ia boleh mendatangkan perbezaan yang ketara juga. Teh hijau mempunyai banyak kesan terhadap kesihatan. Mengambil dua atau tiga cawan sehari akan meningkatkan bendalir dan mengelakkan perut anda buncit. Buah-buahan sitrus seperti oren, limau gedang, lemon dan limau nipis membantu menyingkirkan lemak secara perlahan.

PEMAKANAN YANG PERLU DIELAK
Elak terlalu banyak menggunakan sos berperisa di dalam hidangan anda. Kebanyakan sos yang berperisa mengandungi banyak bahan perasa tambahan yang tinggi garam dan perasa tiruan. Untuk menggantikan sos ini, guna minyak zaitun, minyak bijan, jus lemon, cuka atau sos soya kurang masin untuk memberi kelazatan hidangan anda. Jika anda memang penggemar minuman bergas, tidak ada salahnya. Pembentukan otot tidaklah sekejam yang anda sangkakan. Apa yang perlu dielak adalah elak mengambil minuman tinggi gula dan bergas ini pada lewat malam.

Makanan ringan seperti keropok, coklat, jem dan pemanis mulut perlu dielakkan kerana ia kategori makanan yang boleh mendatangkan ketagihan buat anda. Elak juga makanan bergoreng, pasta putih, nasi putih dan roti putih. Kebanyakan tepung yang digunakan adalah tepung yang sudah dilunturkan sehingga berwarna putih. Jauhi minuman segera yang manis seperti minuman 3 in 1 dan elak juga mengambil karbohidrat pada sebelah petang.

RUTIN PERLU IKUT
Untuk memudahkan anda, kami ada menyediakan jadual mudah buat anda mengatur dan melatih diri dalam membina abdomen six pack ini.

7 am: Bubur oatmil bersama pisang, kismis dan teh hijau.
10 am: Dua telur separuh masak yang dilapisi daging salai di atas roti gandum.
12 pm: Minuman protin (sebelum latihan).
2 pm: Minuman protin (selepas latihan), diikuti daging dada ayam bersama bayam, tomato ceri dan kentang manis.
5 pm: Bar protin dan pisang.
8 pm: Stik tuna gril bersama brokoli, lobak merah, kale dan perasa seperti kicap kurang masin. Untuk pencuci mulut pula, ambil betik bersama halia dan jus limau.

Tip-tip ini tidaklah menggunakan perbelanjaan yang besar dan buktikan pada rakan bahawa anda bukan berangan kosong. Bolehlah anda cuba baju body fit selepas ini. Perlu berdisplin dan selamat membina otot!

Sumber: Maskulin