Iklan Sat

Kembali Dara

Kembali Dara

Apa Kata Profesor Ungku Aziz

on Thursday 27 June 2013







9 Kunci Terhebat Dalam Perniagaan

on Saturday 15 June 2013

9 KUNCI TERHEBAT DALAM PERNIAGAAN

Berdasarkan pengalaman serta kajian saya sendiri, 90% daripada usahawan yang baru berniaga, mereka akan mengalami dua situasi ngeri iaitu: Tidak berjaya buat banyak duit. Akhirnya mendorong kepada satu lagi situasi, di mana perniagaan mereka lingkup teruk dan akhirnya “tutup kedai”. 
          

Perkongsian ini bukan bertujuan untuk membuatkan bakal usahawan trauma atau takut untuk memulakan perniagaan. Apa yang mahu ditekankan adalah kepentingan memahami formula, yang terbukti membantu kita untuk mencipta jalan kejayaan menerusi perniagaan. Kuasai Formula M.E.S.T.I. Formula itu adalah M.E.S.T.I (M = Mentor, E = Elmu, S = Sistem / Strategi yang betul, T = Tindakan yang betul, & I = Impian yang jelas).

Ramai yang ghairah dan teruja apabila melihat orang lain berniaga dan berjaya mengubah kehidupan mereka. Namun mereka terlupa beberapa elemen penting. Tanpa ilmu perniagaan, tanpa mentor yang terbukti berjaya, mereka akan terus dihimpit kegagalan dalam perniagaan.

Situasi kurang enak ini berlaku dalam 90% diri usahawan. Di mana mereka lebih rela melanggar dinding berkali-kali, membakar duit sendiri tanpa memperoleh sebarang pulangan, membuang masa dan tenaga melakukan perkara yang masih diragui keberkesanannya, dan terus mencuba nasib. Akibat daripada situasi-situasi ini, keputusan terakhir mereka adalah mengangkat bendera putih dan menyerah kalah.

Untuk mengelakkan diri kita daripada tergelincir dalam situasi-situasi ngeri seperti yang disebutkan di atas, penting untuk kita faham tentang 9 formula mencipta landasan kejayaan dalam perniagaan. Khususnya untuk bakal usahawan dan usahawan yang baru mula bertapak. 9 formula ini dapat membantu kita untuk mengubah rentak perniagaan serta merta.

Pertama: Matlamat Perniagaan Dan Peribadi Yang Jelas

Sebelum berniaga, fahami dan jelas tentang sebab utama kita memulakan perniagaan. Kenapa kita memilih untuk berniaga? Apakah matlamat yang ingin kita kecapi daripada perniagaan? Apakah impian kita? Ini kerana, perniagaan sebenarnya bertindak sebagai alat. Matlamat, impian dan sebab kita adalah faktor pemangkin kejayaan dalam perniagaan. Kebanyakan mereka yang berjaya dalam perniagaan, terdiri daripada golongan yang mempunyai matlamat yang jelas. Dalam masa sama, matlamat peribadi yang jelas juga biasanya menyebabkan kita terpaksa berjaya. 

Contohnya dalam kes kejayaan pelabur bertaraf bilionair, iaitu Warren Buffett. Sejak 35 tahun dahulu, beliau memang mempunyai minat yang dalam terhadap produk-produk baru, yang ada dalam pasaran. Secara tidak langsung, mendorongnya untuk membeli saham-saham yang ditawarkan oleh syarikat pengeluar produk-produk itu. Setelah sekian lama bergiat dalam industri saham dengan hanya berdasarkan minat dan matlamat yang jelas, Warren Buffet berjaya mengaut keuntungan sehingga ribuan kali ganda dalam masa beberapa puluh tahun. Selain beliau, anak muda yang mengasaskan laman sosial Facebook iaitu Mark Zuckberg juga mempunyai cerita kejayaan yang hampir sama. Beliau bermula dengan mempunyai matlamat peribadi yang jelas. Mark Zuckerberg mahu mengenali ramai gadis-gadis di universitinya. Oleh sebab itu, beliau mencipta satu sistem di Internet yang digelar sebagai “Facebook”. Malah, hari ini beliau memegang status sebagai bilionair termuda di dunia. 

Situasi seperti ini juga berlaku dalam diri para peserta program saya yang sudah bergelar jutawan. Mereka bermula dengan wang poket yang sedikit. Namun disebabkan matlamat mereka jelas, iaitu mahu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada insan yang mereka sayangi, maka mereka tidak mencipta sebarang alasan.  

Matlamat yang jelas ini sangat penting. Selain membantu kita mempunyai fokus yang kuat untuk mencapai apa yang kita mahu, ia dapat menyelamatkan diri kita daripada terpengaruh dengan emosi negatif, apabila menghadapi sebarang cabaran dan halangan dalam perniagaan. Justeru itu, tulis dengan jelas matlamat yang kita benar-benar mahu capai. Tulis sekali tarikh atau tempoh untuk kita realisasikan matlamat itu. Kemudian lihat bagaimana rentak perniagaan kita mula berubah sedikit demi sedikit.

Kedua: Kenal Pasti Masalah, Kenal Pasti Solusi 

Ini adalah masalah utama yang berlaku dalam diri usahawan yang gagal memasarkan produk atau perkhidmatan mereka dengan berkesan. Mereka tidak mampu untuk menjawab soalan seperti, “Apakah masalah kritikal yang dihadapi oleh orang ramai, yang menyebabkan mereka memerlukan produk atau perkhidmatan anda?” Jika soalan ini tidak boleh dijawab dengan padat dan penuh keyakinan, maka ia menjelaskan bahawa kita sendiri tidak memahami perniagaan yang dijalankan. Untuk menjadi usahawan berjaya, penting untuk kita mengenalpasti masalah sebanyak yang mungkin. Kerana tugas bisnes yang hakiki adalah menyelesaikan setiap masalah yang ada, menerusi produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan. Contohnya, kita menjual karipap panas berintikan daging serta kentang pada waktu petang. Masalah yang dapat kita selesaikan adalah masalah individu yang bekerja di pejabat di luar sana, yang ingin mendapatkan karipap sedap di waktu petang. Bukan itu sahaja, kita juga boleh menyelesaikan masalah isteri-isteri yang ingin menghidangkan karipap panas yang sedap di rumah, untuk seisi keluarga bagi menikmati waktu petang. Malah bagi yang mempunyai masalah emosi terganggu kerana merindui karipap panas masakan ibunya, kita sebenarnya sedang menghulurkan bantuan untuk menyelesaikan masalah itu. Dalam perniagaan, lagi banyak kita dapat kenal pasti masalah, lebih mudah untuk kita melaksanakan strategi pemasaran dan mencipta keyakinan dalam diri pelanggan terhadap bisnes kita.

Ketiga: Strategi Bootstrap” 

Usahawan yang gagal sering menyalahkan isu modal sebagai alasan mereka gagal, atau tidak berjaya dalam perniagaan. Hakikat yang sebenar adalah, kita tidak perlu modal perniagaan yang besar untuk bermula. Kebanyakan peserta program saya memulakan perniagaan dengan jumlah modal yang kecil. Strategi ini digelar sebagai strategi “bootstrap”. Maksudnya, kita memulakan perniagaan menggunakan apa yang ada dalam diri. Kita gunakan bakat, minat atau kemahiran sedia ada untuk menawarkan servis atau produk kepada para pelanggan yang memerlukan. 

Selain itu, kita juga boleh menjual produk atau perkhidmatan milik orang lain. Kisah Mat Jenin dapat dijadikan sebagai iktibar untuk memahami strategi ini dengan lebih mendalam. Beliau bermula dengan mengambil upah panjat kelapa. Kemudian duit upah itu digunakan untuk membeli ayam. Apabila ayam bertelur, telurnya itu dijual di pasar. Selepas itu, beliau kumpul duit supaya dapat membeli kambing. Mat Jenin mula menjual susu kambing dan mengumpul duit untuk membeli lembu. Sebaik sahaja lembu dibeli, beliau menjual susunya pula. Sehinggalah satu hari semua lembunya berjaya dijual dan akhirnya Mat Jenin menjadi kaya raya. Namun satu daripada masalah ketara beliau adalah, Mat Jenin hanya berangan-angan tanpa sebarang tindakan. Namun apa yang jelas di sini adalah pendekatan strategi “boostrap” yang beliau angankan. Dalam masa yang sama, kesabaran juga memainkan peranan penting untuk melaksanakan strategi ini.

Keempat: Test, Trial dan Adjust (Dare to Explore) 

Istilah menguji adalah istilah yang terbaik bagi menjelaskan formula yang keempat ini. Penting untuk usahawan menguji permintaan di pasaran, dengan menjalankan percubaan demi percubaan supaya produk atau servis kita dapat diterima pasaran. Apabila kita menjual karipap berintikan daging dan kentang, langkah pertama adalah memberikannya kepada beberapa orang untuk merasa terlebih dahulu. Kemudian minta maklum balas daripada mereka. Ambil perhatian terhadap maklum balas yang diberikan. Lakukan ubahsuai dan penambahbaikan sehingga kita benar-benar berpuas hati. Langkah ini penting sebelum kita memasarkan produk atau servis secara agresif dan besar-besaran.

Kelima: Guna Keuntungan Untuk Kembangkan Perniagaan  

Formula ini adalah formula yang kritikal dalam perniagaan, khususnya untuk perniagaan yang baru bertapak. Perniagaan yang berjaya menjana keuntungan semasa ia masih kecil, akan terus berjaya mengaut keuntungan sebaik sahaja bisnesnya berkembang besar. Ini kerana untung yang konsisten dapat membuatkan perniagaan kita untuk mempunyai aliran tunai yang bagus. Oleh itu, rancang aliran tunai bisnes kita. Simpan duit sebanyak mungkin supaya kita dapat kembangkan perniagaan, tanpa perlu melakukan pinjaman.  

Sebagai contoh, kita memulakan perniagaan karipap secara kecil-kecilan dan memiliki satu tapak sahaja. Keuntungan bersih yang kita berjaya peroleh adalah RM100 sehari. Duit untung ini kemudian digunakan untuk membuka tapak yang kedua, ketiga dan seterusnya. Cara ini dapat mengelakkan diri kita daripada membuat sebarang pinjaman. Bayangkan kita mempunyai sekurang-kurangnya 10 tapak perniagaan, yang menghasilkan RM100 sehari dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang. Ini bermakna jumlah keseluruhan untung bersih kita adalah RM1,000 sehari.

Keenam: Pilih “Tentera” Bisnes Dengan Teliti Dan Betul  

Maksud “tentera” adalah pekerja. Kita tidak akan mampu menguruskan perniagaan seorang diri. Usahawan yang bijak adalah usahawan yang pandai memilih pekerja yang bagus, untuk membantu mencipta lebih banyak kejayaan. Untuk mendapatkan tentera yang berkualiti, komited dan bagus, langkah terbaik yang boleh kita lakukan adalah menulis senarai “pekerja impian”. Tulis mengikut kriteria yang kita mahukan, supaya ia dapat dijadikan sebagai satu garis panduan apabila memilih pekerja.

Ketujuh: Kembangkan Perniagaan Menerusi Fasiliti Perniagaan  

Apabila kita berjaya menjana keuntungan yang konsisten dan mempunyai aliran tunai yang positif, ia adalah signal yang mencerminkan kredibiliti kita untuk diberikan pinjaman. Walaupun membuat pinjaman adalah satu tindakan yang berisiko, namun ia sebenarnya adalah langkah yang bijak bagi usahawan yang celik wang. Wang itu boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan dengan lebih pantas. Namun perkara paling penting di sini adalah mempunyai disiplin dalam memperkemaskan aliran wang tunai syarikat. Pastikan setiap transaksi duit keluar masuk dilakukan dalam satu akaun bank sahaja. Ini adalah kesilapan besar yang sering dilakukan oleh majoriti usahawan. Hatta yang baru atau mereka yang sudah berpengalaman bertahun-tahun dalam perniagaan. Aliran tunai adalah indikator penting pihak bank. Mereka tidak peduli kisah jualan perniagaan kita, jika aliran tunai itu tidak dapat dibuktikan menerusi akaun bank syarikat yang dimiliki. Justeru itu, untuk memudahkan kita mendapat fasiliti kewangan atau pinjaman daripada pihak penting, penting untuk kita menunjukkan aliran tunai yang konsisten, positif dan bagus.

Kelapan: Mulakan Bisnes Sampingan  

Jika kita masih bekerja, maka saya cadangkan supaya mulakan perniagaan secara sampingan. Salah seorang peserta seminar saya mempunyai perniagaan butik pakaian kanak-kanak dan bayi yang terletak di pasaraya. Lebih menarik, pasangan suami isteri ini masih bekerja sebagai jurutera dan pembantu perubatan. Mereka memulakan bisnes ini secara sampingan dan menjana keuntungan yang lumayan. Bukan itu sahaja, saya juga mempunyai beberapa peserta program yang masih bekerja dan mengambil tempahan membuat kek di rumah. Ia dilakukan sebaik sahaja waktu pejabat mereka tamat. Kita tidak perlu terburu-buru berhenti kerja untuk memulakan perniagaan. Keputusan itu hanya sesuai dilakukan, sebaik sahaja kita mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menguruskannya secara sepenuh masa.

Kesembilan: Kuasai Pemasaran -  Sentiasa Bersedia Untuk “Kembali Ke Sekolah”  

Konsistensi adalah kunci utama kejayaan sesebuah perniagaan. Jika kita mempunyai produk yang bagus dan tidak ada seorang pun yang tahu tentang kewujudannya, maka produk itu adalah sia-sia. Ilmu pemasaran adalah ilmu yang wajib dikuasai oleh setiap usahawan. Ini kerana ia adalah ilmu yang digunakan untuk menarik ramai pelanggan, supaya jualan dan keuntungan kita meningkat secara drastik. Oleh yang demikian, sentiasa bersiap sedia untuk kembali ke sekolah. Maksudnya di sini, sentiasa terbuka minda untuk menimba ilmu pemasaran. Belajar selok belok ilmu menarik pelanggan ini menerusi buku-buku atau seminar-seminar yang dianjurkan pakar.  

Dengan ilmu pemasaran yang betul dan terbukti berkesan, kita dapat menjana keuntungan dengan pantas. Seperti kata bilionair Donald Trump, “Produk yang bagus akan tetap gagal, apabila usahawan itu tidak mempunyai ilmu pemasaran.”

Kredit: Maskulin


<----Gabungan serbuk mutiara berkualiti tinggi bersama bahan2 kaya nutrisi khusus untuk kesihatan kulit dari hujung rambut hingga ke hujung kaki!!







20 Amalan Memurahkan Rezeki

on Saturday 8 June 2013



Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan Diri Beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah R.A.)

2. Memperbanyak Istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi S.A.W.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas R.A.)

3. Tinggalkan Perbuatan Dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa Ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. 

Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti Dan Mendoakan Ibu Bapa


Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. 

Baginda S.A.W. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat Baik Dan Menolong Orang Yang Lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. 

Sabda Nabi S.A.W.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan Hajat Orang Lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak Berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat Kebajikan Banyak-Banyak

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-Pagi

Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin Silaturrahim


Nabi S.A.W. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi Kekal Berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . 

Baginda S.A.W. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah



Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah Azza Wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas R.A.)

14. Melazimi Solat Malam (Tahajud)


Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15. Melazimi Solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. 

Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur Kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. 

Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) 

Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan Zikir Dan Bacaan Ayat Quran Tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. 

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah Ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, Ya Fattah Ya `Alim.” 

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa


Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar Sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. 

Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah,  nescaya Allah mencukupkan(keperluannya).” (At-Thalaq: 3)

Nabi S.A.W. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab R.A.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam erti kata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Sumber artikel: http://alpalupa.blogspot.com





30 Wasiat Imam Syafie

on Monday 3 June 2013


1✐ Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan cemerlang di dunia dan akhirat.


2✐ Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

 3✐ Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.

 4✐ Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti hidup.

 5✐ Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dicintai Allah.

 6✐ Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya. 

7✐ Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.

8✐ Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letih dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.

9✐ Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding daripada serangan iblis.

10✐ Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berkat, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan. 

11✐ Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.

12✐ Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.

13✐ Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.

14✐ Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada Al-Haq yang tidak berbelah bagi.

15✐ Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan “A’uzubillahi minasysyaitanirrajim”. Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.

16✐ Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.

17✐ Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas Al-Haq yang tidak disertai iringan-iringan pasukan kebatilan.

8✐  Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.

19✐ Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di dunia dan akhirat adalah mmberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahnnya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.

20✐ Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti siang hari sebagaimana Umar Bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.

21✐ Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.

22✐ Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan makan, mengurangkan bercakap, dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

23✐ Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.

24✐ Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya dia memperoleh banyak kebaikan.

25✐ Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.

26✐ Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam penyataannya dalam surah Ar-Rum ayat 47 yang bermaksud, “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-Rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.”

 27✐ Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan daripada Allah sebagaimana pernyataanNya dalam surah Al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.”





 28✐ Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, “Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman.” 

29✐ Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan yang lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah Al-Hajj ayat 54 yang bermaksud, “Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.”

30✐ Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataanNya dalam surah Al-A’raf ayat 96 yang bermaksud, “Sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti akan kami melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.”






 
© Celoteh Lee Aziz All Rights Reserved