“Dr., boleh Tanya pendapat tak?” Tanya seorang wanita melalui telefon.
“Ya, boleh. Silalah.”
“Sebenarnya bolehkan seseorang wanita itu mencukur keningnya?”
Saya terdiam. Soalan ini patut ditanyakan kepada ustaz atau ustazah, tetapi mengapa pula kepada saya.
“Saya bertanya begini sebab saya sudah jadi keliru sekarang. Saya lihat orang yang bercakap tentang agama pun telah mencukur keningnya,” sambung wanita berkenaan.
“Er, siapa?”
Dia pun menyebut satu nama. Nama yang disebutnya itu adalah nama seorang yang sangat popular, kerap muncul di tv dalam rancangan baik-baik termasuk rancangan keagamaan.
“Betulkah sekarang ini sudah boleh cukur kening?” tanyanya lagi.
Saya terdiam terus.
“Bukan orang berkenaan sahaja Dr., sekarang saya tengok ramai ustazah-ustazah pun tipis-tipis keningnya. Tentulah mereka cukur, takkan semula jadi serupa itu.”
Lalu saya menjawab, “Ikut hukum asalnya tak boleh, tapi jadi harus jika ada penyakit yang terpaksa kening itu dicukur. Mungkin ustazah-ustazah berkenaan berpenyakit tak, siapa tahu.”
“Ooo, begitu ke,” jawab wanita berkenaan macam puas hati sambil ketawa.
Rasulullah SAW bersabda, “Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis (kening) dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah. (Ibn Masud)
Jakim memberikan tafsiran berikut tentang hadis di atas:
Maksud mengubah ciptaan Allah SWT ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah SWT yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.
Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah SWT yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.
Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah SWT, lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah SWT kerana Allah SWT itu cantik dan sukakan kecantikan.
Lalu saya pun menyambung bicara, “Pada saya tak cantik manalah kalau mencukur kening tu dengan diganti oleh lukisan kita sendiri. Apalah cantiknya tu. Kadang-kadang lukisannya herot atau tak sama tebal atau jadi luntur apabila terkena hujan. Dari sudut pandangan saya, sebagai lelaki dan saya percaya ramai lelaki bersetuju dengan saya, kening yang dicukur dan dilukis kembali oleh kebanyakan wanita itu tidaklah cantik mana.”
Wanita berkenaan tertawa terkekeh-kekeh, “Betul Dr., betul. Memang tak cantik mana pun,” sebelum meletakkan telefon.
Selalu wanita berbuat sesuatu tujuannya supaya dilihat cantik atau dikatakan cantik terutama oleh pihak lelaki tetapi sebenarnya pada pihak lelaki mereka selalu berkata perkataan ini, “Kesian...,” pada penampilan atau perubahan yang tidak sesuai. Cukur kening dan melukisnya kembali adalah salah satu.
Selepas itu saya tersenyum-senyum. Terkenang dahulu sewaktu di kampong, sewaktu masih kanak-kanak saya dan kawan-kawan selalu ditakut-takutkan dengan kata-kata, “Jangan cukur kening, nanti nampak hantu. Kalau nak tengok sangat, cukurlah kening, nanti nampaklah hantu.”
Lalu tertanya-tanya saya, apakah wanita-wanita yang mencukur kening hari ini tak takut nampak hantu?
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment