Apakah rahsia supaya kekal sihat? Jawapannya mudah iaitu bebaskanlah diri anda daripada penyakit. Namun, tidak semudah itu untuk membebaskan diri daripada sakit. Hidup manusia tidak pernah sunyi daripada diuji bermacam-macam ujian. Jika ujian itu berbentuk kesakitan ia mungkin berupa penyakit pada fizikal. Jika ujian itu berbentuk kesakitan dalaman ia mungkin berupaya penyakit mental, emosi dan spiritual.

Walaupun tiada manusia bebas penyakit, kita tetap disuruh berusaha supaya sentiasa sihat, sebab melalui kesihatanlah kita boleh beribadah dengan selesa terhadap Allah. Kesakitan yang berpanjangan selama bertahun-tahun hingga tidak nampak tanda-tanda akan pulih boleh menyebabkan runtuh iman. Maka itulah, berusaha supaya sentiasa sihat adalah dituntut. 

Motivasi 3E menyuluh jauh hingga ke lubuk hati, maka itu apabila hendak menilai seseorang itu sihat ataupun tidak saya meletakkan pada tiga syarat, iaitu mentalnya stabil, spiritualnya putih dan fizikalnya mantap. Jika salah satu sahaja daripada tiga elemen ini cacat bermakna tidak sihatlah dia, lantas dia perlu berusaha lagi supaya dirinya benar-benar unggul.


Bagaimana supaya mental sentiasa stabil?

Usah nodai ia dengan perkara yang tidak senonoh, misalnya setelah bertemu jodoh, jagalah pasangan baik-baik supaya tidak mudah terkalih perasaan kepada orang lain. Orang yang menyimpan banyak cinta terlarang otaknya serabut dan ini sebenarnya memberi tekanan kepada otaknya itu. Jika ini berterusan ia akan  menyebabkan kestabilan otak terganggu. Kekecewaan pula boleh menyebabkan ia berada pada arus theta atau delta, dua arus lemah ini boleh beranjak hingga menjadi ‘sewel’. 

Bagaimana supaya spiritual sentiasa putih?

Spiritual adalah dalaman seseorang. Ia adalah elemen putih atau hitam, bergantung pada bagaimana orang itu menjalani hidupnya. Andainya dia seorang yang tidak kisahkan Tuhan, elemen ini mungkin berwarna hitam dan ini boleh terpancar pada air mukanya yang turut tidak berseri. Dalam keadaan begini, meskipun orang melihat dia sihat, sebenarnya dia sedang sakit, malah kesakitan yang parah kerana tidak terlihat oleh mata.

Bagaimana supaya fizikal sentiasa mantap?

Jika sayangkan badan, usah terlalu dimanjakan, sesekali bawa-bawa bekerja yang menggunakan banyak tenaga, tetapi jika sayang badan juga, usah terlalu ‘melenjan’ tubuh, nanti cepat kondem. Terbaik, pastikan anda ada aktiviti fizikal yang boleh membuatkan anda berpeluh. Bersenam yang tidak begitu berat secara konsisten sebanyak tiga kali seminggu adalah baik. Selain itu, pastikan apa yang anda makan memenuhi syarat pengambilan nutrien yang baik untuk kekal sihat.

Inilah tiga unsur penting yang perlu dijaga andainya ingin mengelak ditimpa penyakit. Namun apakah yang boleh dilakukan sekiranya sekarang ini sedang bergelut dengan penyakit? Semua kaedah perubatan telah dilakukan namun penyakit masih tidak mahu pergi? 

Cuba lakukan ini, mulakan dengan membaca Al-Fatihah, kemudian Ayat Kursi, kemudian bacalah ayat 21 dan 22 daripada Surah Al-Baqarah pada sebaldi air dan mandilah dengan air berkenaan. Kaedah ini diberikan kepada saya oleh seorang pengamal perubatan Islam yang telah amat biasa berdepan dengan cabaran penyakit yang tidak dapat dikesan oleh pihak hospital. 


Daripada Jabir bin Abdullah dari Nabi SAW sabdanya, “Tiap-tiap penyakit itu (ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah 
dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim dan Ahmad) 

Sumber: mingguanwanita