Jika tidak pernah terlepas membaca majalah ini, anda tentu tahu saya telah menyiarkan sebuah artikel bertajuk ‘Jariah Fikiran Sesama Wanita’ (MW Bil 11-17 Nov 2011), berkenaan kemelut kehidupan yang dihadapi oleh seorang pembaca.
Saya siarkan dan mempelawa sesiapa yang mempunyai pandangan bolehlah menyalurkannya kepada saya untuk saya siarkan kembali. Itu jariah fikiran namanya. Moga-moga dengan itu ringanlah bebanan kalau pun tidak menyelesaikan seluruh permasalahan.
Setakat saya menulis artikel ini (31 Dis 2011), bermakna setelah lebih sebulan lamanya artikel itu tersiar saya hanya menerima tiga maklum balas. Ketiga-tiganya dalam bentuk e-mel. Memang amat sedikit berbanding pembaca MW mencecah ratusan ribu.
Termenung juga saya dibuatnya, macam wanita sesama wanita tidak kisah oleh permasalahan wanita; macam juga jariah fikiran tidak bermakna apa-apa. Namun saya tetap berbangga kerana salah satu daripada tiga e-mel berkenaan datangnya daripada seorang lelaki. Mari kita baca apa kata mereka.
Pandangan Pembaca Lelaki
Saya terpanggil untuk berkongsi jariah fikiran berkenaan tajuk artikel, ‘Jariah fikiran sesama wanita’. Dari pandangan lelaki, memang mudah untuk memiliki isteri baru setelah dirasakan isteri pertama tidak lagi memberi layanan dan belas kasih yang sepatutnya kepada suami.
Saya terpanggil untuk berkongsi jariah fikiran berkenaan tajuk artikel, ‘Jariah fikiran sesama wanita’. Dari pandangan lelaki, memang mudah untuk memiliki isteri baru setelah dirasakan isteri pertama tidak lagi memberi layanan dan belas kasih yang sepatutnya kepada suami.
Atas kelebihan suami untuk beristeri lebih dari satu perlu ada tuntutan adil kepada isteri-isteri.
Namun apabila isteri dapat rasakan sakit yang tidak terperi dengan tindakan suami yang mengabaikan tanggungjawab pada isteri, perlulah memikirkan satu versi hidup yang baru.
Saya berminat dengan cerita Eat, Pray, Love lakonan Julia Roberts. Walaupun dalam watak itu beliau sudah berkahwin tetapi hidup terasa kosong kerana tidak berjumpa dengan pasangan sejati.
Keputusan yang beliau buat, dengan mengembara, mencari kekuatan diri, mencari cinta yang baru memberi nafas baru kehidupan yang lebih mencabar. Satu makna kehidupan, yang hanya sekali, kita perlu cari dan gunakan sewaktu masih hidup.
Saya juga walau lelaki, beristeri, memiliki dua orang anak, masih tercari-cari rentak cinta saya, terasa memang mudah mencari calon lain (dalam hati amat susah kerana saya tidak pandai mengurat).
Namun saya cuba ‘menjelajah’ cinta kami, mencari kelemahan saya dan ubah menjadi kekuatan, saya pohon kekuatan pada Allah pelihara rumah tangga kami, saya cuba usaha jaga solat lima waktu agar mendapat redha dan cinta Allah.
Apa yang saya sarankan carilah keseronokan dalam hidup insya-Allah diri akan lebih bahagia. Saya juga dapat rasakan perit berpisah dengan bekas tunang setelah bercinta lapan tahun, tetapi hidup ini perlu diteruskan. Perancangan Allah lebih rapi dan terbaik untuk hamba-hamba-Nya cuma kita hamba yang belum mengetahuinya. Setelah tiga tahun berumah tangga saya semakin mendapat jawapan hikmah semua yang berlaku.
Respons Wanita
Berikut ialah respons dari salah seorang wanita pula :
Berikut ialah respons dari salah seorang wanita pula :
Menitis air mata saya membaca nasib wanita itu. Saya juga telah berkahwin hampir tiga tahun dan masih belum dikurniakan cahaya mata. Kadang-kadang memang terfikir nasib sedemikian, tetapi cepat-cepat istighfar.
Kepada wanita itu, hidup kita adalah pinjaman dan apa yang diberikan kepada kita juga pinjaman. Sampai masa ia akan diambil. Memang bukan mudah untuk menghadapinya, tapi percayalah puan, satu hari nanti pasti ada kegembiraan yang menanti. Mungkin bekas suami puan itu bukan orang yang selayaknya bergelar ayah kepada bakal anak puan. Apabila Tuhan menguji, bermakna Tuhan sayangkan kita.
Syabas dan terima kasih, moga-moga memberi sedikit kelegaan kepada penanya. Terkadang kita tidak upaya untuk jariah harta benda, namun kita masih boleh berjariah melalui pemikiran kita sebab terkadang jariah pemikiran itu lebih berharga. Salam buat semua.
Sumber: mingguanwanita
Sumber: mingguanwanita
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment