Rekod jualan buku-buku motivasi kewanitaan saya sentiasa meningkat. Apakah itu menunjukkan semakin ramai pasangan menghadapi masalah dalam perkahwinan mereka? Jawapannya tidak. Bahkan ramai orang membeli buku motivasi kewanitaan untuk menambah anggun dan cemerlang dalam hidup. Ia bukan semata-mata disebabkan oleh kemelut jiwa atau rumah tangga.
Adalah keterlaluan mengatakan orang yang kerap ke masjid disebabkan banyak dosa, bukan? Samalah seperti mengatakan orang yang kerap pergi umrah dan haji itu sebab dosa mereka tak terhitung lagi, maka perlu banyak-banyak taubat. Sebab realitinya orang ke masjid, haji dan umrah adalah bukti ketaatan serta kecintaan terhadap Allah.
Jadi, mereka yang membaca ruangan motivasi dalam majalah bukanlah mereka yang tiada motivasi. Mereka adalah orang yang ingin memperkuat jati diri, membina peribadi anggun dan unggul secara berterusan.
Orang pergi universiti bukan disebabkan bodoh tetapi untuk semakin pandai, sebab bukankah untuk layak ke universiti itu perlu pandai terlebih dahulu? Yang tidak pandai adalah mereka yang selalu menganggap diri sudah pandai sedangkan mereka tidak pernah hendak pergi belajar. Mereka pandai pada ukuran sendiri, tidaklah salah, namun jika mahu terpandang perlu keluar untuk melihat di manakah kedudukan mereka yang sebenar. Yang tidak pandai juga adalah mereka yang tiba-tiba memfailkan tuntutan cerai atau terus bercerai sedangkan langsung tidak merujuk permasalahan mereka pada pihak-pihak yang boleh menyelamatkan perkahwinan itu. Setelah melalui proses pemantapan ilmu, sesi kaunseling, menghadiri seminar-seminar perkahwinan dan kekeluargaan, seterusnya membaca buku-buku motivasi misalnya, sekiranya masih hendak bercerai juga itu namanya cerai intelek. Selalunya tidak akan terjadi, namun andainya terjadi, ia adalah satu bentuk perceraian yang berlaku dalam suasana humble – redha, faham dan semata-mata mahu.
Pihak berkuasa agama dikatakan buntu untuk menyelesaikan masalah perceraian di kalangan pasangan Islam yang semakin meningkat kebelakangan ini, di manakah silapnya? Mereka mengakui tiada lagi jalan keluar bagi mengatasi isu itu sekiranya pasangan berkenaan gagal mengubah sikap dan keburukan diri masing-masing. Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman berkata, pendekatan jabatan agama ketika ini sudah mencapai tahap maksimum kerana ia merangkumi segala aspek daripada pra perkahwinan hingga proses perceraian.
Masalahnya, apakah setiap pasangan yang diberikan bermacam-macam pendekatan itu datang untuk mencari titik persamaan atau sebenarnya membesarkan jurang berbezaan, itu yang akan menentukan apakah mereka hujungnya akan berakhir sebagai pasangan bahagia atau berpisah juga.
Pihak jabatan agama menawarkan khidmat nasihat dan runding cara keluarga seiring dengan keadaan semasa buat pasangan konflik. Di Jabatan Agama Islam Selangor misalnya, terdapat pelbagai kursus seperti program Sakinah, Rumahku Syurgaku dan Klinik Guaman Syarie setiap bulan sebagai panduan kepada pasangan dalam melayari alam rumah tangga.
Jadi, apa lagi usaha untuk mengurangkan jumlah perceraian pasangan-pasangan Melayu dan Islam ini daripada terus meningkat? Biasakanlah diri anda dengan nasihat-nasihat perkahwinan secara lembut, tidak mendesak atau menekan perasaan. Kursus intensif perkahwinan mungkin tidak sesuai bagi anda buat masa ini, tetapi pendekatan santai motivasi keintiman mungkin menyentuh naluri kebahagiaan. Kaunseling berjadual mungkin menekan perasaan meskipun sepatutnya ia melegakan, motivasi santai kewanitaan mungkin alternatif buat anda. Kesemuanya itu ada di sini.
Sumber: mingguanwanita
Sumber: mingguanwanita
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment