Memang sukar diduga tetapi ia benar. Saya merujuk pada seorang kenalan, pernah ‘menjandakan’ diri sebanyak dua kali tetapi berkahwin dengan seseorang yang memiliki gelaran diraja kemudiannya.
Dia pernah mendapatkan kaunseling empat mata dengan saya sewaktu perkahwinan kali keduanya itu bergolak. Bukan pergolakan biasa sebab ia membabitkan kecederaan pada muka dan rahang akhirnya laporan polis dibuat.
Pernah saya berkata begini kepadanya, “Agak-agak kalau tak bercerai dengan suami pertama dahulu, kena tak macam ni?” Dia tertawa pahit. Katanya, dia tidak sangka sama sekali pengorbanan yang dilakukannya untuk berkahwin kali kedua itu langsung tidak dihargai. Bukan setakat tidak dihargai, lihatlah apa yang dapat ini. Kemudian saya bertanya lagi, “Sekarang nak cari apa pula?”
Katanya, “Nak cerai je. Tak nak lain-lain. Nak cerai je.”
Tetapi bukanlah mudah hendak bercerai sebab pernikahan itu dilakukan di Thailand. Kalau hendak bercerai kenalah daftarkan nikah di negara ini terlebih dahulu. Hendak mendaftar itu bukan mudah juga sebab akan didakwa kerana bernikah tanpa kebenaran. Lebih dramatik suami kenalan saya ini juga sudah beristeri sebelumnya. Bermakna dia adalah isteri kedua. Kehidupan yang begini, bolehkah anda bayangkan bagaimana haru birunya?
Pada semua kemelut yang dihadapinya itu saya menjadi orang yang sering dirujuk. Apabila dia kerap bertekad tidak akan kahwin lagi saya fikir dia akan kekal dengan pendirian barunya itu. Saya macam percaya dia akan terus menjanda sampai bila-bila. Tetapi aturan Tuhan selalu menyalahi andaian manusia. Suatu hari dia datang ke pejabat saya dan memberitahu dia bakal bernikah pada sekian hari bulan dan bakal suaminya ‘somebody’. Hmmm, macam payah hendak dipercayai tetapi ternyata akhirnya saya mendapat kad jemputan. Pada majlis penuh bermakna itu, saya hadir bersama isteri meraikannya sama.
Berjauh Hati
Kisah ini sesungguhnya memberi banyak pelajaran bernilai motivasi kepada kita semua, terutama mereka yang kerap berjauh hati oleh persoalan jodoh. Perasaan terkucil apabila mengenang-genang status diri kononnya serba kekurangan, pasal itulah jodoh menjadi lambat, rasa-rasanya di sini ada ubatnya.
Jika semestinya orang yang cantik itu akan mendapat jodoh lebih awal, akuilah ramai selebriti popular kekal membujang, menjadi janda atau kekal duda. Jika semestinya orang berharta itu boleh memiliki semua yang dikehendakinya, tidak sedikit orang kaya yang tetap menganggap dirinya miskin, malah ada yang terbabit meminta rasuah jutaan ringgit.
Jika semestinya pangkat dan gelaran adalah nilai kepuasan seseorang, sebenarnya lebih ramai yang tanpa pangkat dan gelaran cukup puas dengan kehidupan masing-masing.
Jika semestinya pangkat dan gelaran adalah nilai kepuasan seseorang, sebenarnya lebih ramai yang tanpa pangkat dan gelaran cukup puas dengan kehidupan masing-masing.
Apa yang berlaku pada kenalan saya ini sememangnya sesuatu yang ajaib juga, maklumlah dia bukan selebriti, bukan juga kaya dan kelihatan biasa, namun pada status janda sebanyak dua kali dengan menanggung anak-anak yang ramai juga, tiba-tiba dia bergelar diraja. Bukankah itu pelik?
Dari manakah semuanya itu bermula? Ketika saya tanyakan soalan ini dia memberitahu, antara lain bermula dari satu pertemuan tidak sengaja dalam satu majlis rasmi bertaraf nasional. Sememangnya kenalan saya boleh dikatakan fotogenik, gambarnya di Facebook memang cukup jelita lagi anggun.
Jadi, usahlah putus asa, biar apa dan bagaimana situasi anda, tiba masanya ia akan berubah jua. Sesungguhnya, soal rezeki, jodoh dan ajal sesuatu yang amat misteri berada di sebalik lipatan dalam pengetahuan Tuhan sahaja. Semestinya sedikit usaha perlu diletakkan. Perkukuhkan kemahuan dengan DUIT – doa, usaha, ikhtiar dan tawakal, apabila ALLAH perkenankan dan menghendaki, sesuatu yang mustahil pasti menjadi realiti.
Sumber: mingguanwanita
Sumber: mingguanwanita
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment