Tidak pernah sesuatu pengkhianatan dapat ditutup selama-lamanya. Apabila masa bergerak pergi, sama ada pengkhianatan itu akan terdedah sendiri atau ada orang yang sengaja mengalinya, kita akan lihat kebenarannya kelak.
Sekecil mana pun pengkhianatan itu suatu hari akan terbuka juga. Kadang-kadang si pengkhianat itu sendiri yang mendedahkannya. Apabila dirangsang rasa bersalah dan ingin bertaubat individu ini akan mencari orang yang dikhianatinya untuk memohon maaf. Ketika itu terdedahlah segalanya.
Oleh itu, usah terlalu rasa sakit apabila anda dikhianati. Percayalah, lambat laun kebenaran akan terbuka jua. Sama ada ketika itu anda masih hidup untuk melihatnya ataupun telah tiada di muka bumi ini, kebenaran sentiasa akan berpihak kepada yang jujur.
Jadi, jika anda tahu anda seorang yang jujur, anda tidak perlu terlalu bersusah hati dengan permainan orang. Jika berupaya gali, galilah, tetapi jika tidak biarkan sahaja masa membongkarnya. Anda hanya perlukan sedikit kesabaran. Sabar sentiasa membawa untung di penghujung.
Hakikatnya tidak ramai orang yang menyedari hal ini. Apabila merasakan diri dikhianati mereka akan bertindak balas. Pelbagai perbuatan yang tidak sesuai barangkali tercetus termasuklah berdepan, bertengkar, bertelagah, bergaduh, bertumbuk, malah berbunuh-bunuhan.
Pengkhianatan antara kekasih barangkali antara yang paling kerap terjadi. Jika anda mengetahuinya, angkatlah kaki, tidak perlu mendedahkan diri pada risiko pergaduhan yang boleh membawa pada kesakitan jiwa dan tubuh badan. Seseorang yang khianat bukanlah rugi jika terpisah dengannya, sebab setiap pengkhianat tidak pernah cukup mengkhianati sekali. Seandainya dia tidak bertaubat nasuha itulah kegiatan hidupnya sepanjang usia. Dia akan melakukan lagi dan lagi. Jika anda kembali kepadanya, suatu hari anda akan dikhianatinya lagi. Bayangkan ketika itu anda telah pun bergelar suami isteri.
Ramai orang memberi peluang kedua, ketiga dan seterusnya pada sebarang pengkhianatan kekasih. Kalau anda ingin memberikan peluang pun usahlah sampai keempat kalinya. Ramai orang sanggup memberi peluang kekasih mengkhianatinya hingga berpuluh-puluh kali atas dasar cinta. Malang sungguh berpendirian serupa ini. Cinta benar-benar telah membutakan mata hati dan mata kepala. Mengapa memberi peluang kepada ular berbisa untuk menyamar sebagai bangku duduk kita?
Bentengi diri
Sabda Rasulullah S.A.W, “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka dia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka dia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya .
(Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai dia khianat, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila bertengkar dia mengetepikan kebenaran (menegakkan benang basah).” (Riwayat Ahmad)
Dalam hadis ini jelas mengatakan si pengkhianat adalah munafik, jadi mengapa hendak berurusan lagi dengan si pengkhianat? Begitu ramai manusia di muka bumi ini kenapa hendak berkasih sayang dengan si pengkhianat? Bukankah itu ibarat duduk di atas ular berbisa, sengaja mencari sebab untuk digigit?
Jika anda sayangkan kehidupan yang penuh bermakna, harmoni lagi tenang, bentenglah diri dari sebarang pengkhianatan manusia. Sebaik sahaja anda tahu pengkhianatan telah berlaku, tidak kira apakah ia besar ataupun kecil, pergilah jauh-jauh darinya. Kita tidak perlukan orang yang mahu mengambil kesempatan terhadap diri kita kerana sememangnya ramai lagi orang yang mahu berkorban untuk kejayaan kita.
Sesungguhnya cinta yang paling indah adalah kasih sayang tanpa sebarang pengkhianatan.
Sumber: mingguanwanita
Sumber: mingguanwanita
{ 1 comments... read them below or add one }
Bagus sekali artikel abang ni.
30 January 2013 at 18:23
Post a Comment