Iklan Sat

Kembali Dara

Kembali Dara

Minta Nasihat Tak Suka Dinasihati

on Saturday, 23 March 2013




Alangkah malangnya mereka yang menjaja cinta sedangkan cintanya itu sudah tiada harga. Senario seorang gadis merayu kepada kekasih supaya terus dicintai sedangkan kekasihnya itu telah berpuluh-puluh kali mengatakan dia sudah tidak cinta lagi adalah antara contohnya. Demikian juga seorang isteri yang mengizinkan dirinya hidup di bawah tekanan dan penindasan suami tetapi masih juga mengatakan bahawa itu adalah cinta, juga ternyata malang.

Apabila sesuatu perhubungan itu lebih banyak air mata daripada ketawa ia bukanlah cinta. Tuhan meminta bertahan pada ujian tapi dalam masa yang sama carilah jalan supaya dapat keluar dari ujian berkenaan.

Bertahan itu memang baik tetapi kalau ada pintunya, eloklah dengan keluar. Memanglah bertahan itu mendatangkan pahala sabar tetapi membiarkan diri dalam penganiayaan manusia hukumnya berdosa. Bukanlah baik membiarkan diri dicederakan sedangkan kita boleh mengelak daripada itu terjadi.

Bukan sedikit wanita yang mengadu dizalimi suami termasuk disepak dan dipukul tetapi tidak mahu berbuat apa-apa mempertahankan hak diri. Apabila dinasihati tidak mahu pula tetapi beria-ia bercerita hingga bergenang air mata.

Untuk apa bercerita sahaja kalau sebarang nasihat tidak diambil peduli. Kalau tidak mahu dinasihati tidak perlulah bercerita. Sekadar meluah perasaan? Adalah lebih baik meluahkannya kepada Allah sebab Dia lebih Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Moga-moga digerakkan hati si suami untuk taubat. Tetapi kalau bercerita dengan manusia, ambillah apa-apa nasihat dan berbuatlah. Usah bercerita tidak sudah-sudah tetapi itulah juga ceritanya, tahun pun berubah tetapi cerita hidupnya masih sama, masih suka bercerita saja.

Untuk apa? Supaya orang mengatakan anda seorang yang sangat sabar dan suami anda seorang yang sangat kejam. Tidakkah anda sedar perbuatan memburuk-burukkan suami itu sama seperti mengumpat?

Dari Abdullah Bin Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Orang Islam itu saudara orang Islam; dia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula.

Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari kiamat nanti.” Itu cerita orang Islam sesama mereka. Keadaan adalah lebih mendesak untuk pasangan yang tinggal serumah. Tidak sepatutnya ada sebarang penganiayaan dan tidak membiarkan diri teraniaya.

Apa faedahnya membiarkan diri jadi ‘bantal tumbuk’ suami tetapi menceritakannya kepada orang lain. Kalau bercerita untuk mencari penyelesaian tidaklah salah tetapi bercerita untuk menarik simpati, seronok bila orang berkata, “Engkau memang sabarlah Shima. Kalau aku, entahlah.”

Kalau betul-betul hendak bersabar sahaja tidak perlu meluah kepada orang lain, lebih-lebih meluahkan kepada motivator. Diam-diam saja dan teruslah hidup dalam keadaan seperti itu.

Tahukah anda, ketika saya menulis artikel ini telefon saya berdering dan seorang wanita di talian sana, meminta izin untuk bercakap. Apabila ditanya berkenaan apa, katanya tentang rumah tangga. Tanpa diminta dia sendiri memberitahu dia telah pun mendapatkan banyak pandangan dan nasihat daripada pelbagai orang dalam masyarakat, malah salah seorang daripadanya adalah kaunselor.

Bukankah semua nasihat itu baik dan andainya dari seorang kaunselor pastinya sangat tepat? Mengapa masih hendak bercerita pada banyak pihak lagi. Nasihat daripada seorang budak, bahkan kadang-kadang lebih berkesan. Jadi, nasihat boleh daripada sesiapa sahaja. Persoalannya apakah anda benar-benar mahu berbuat setelah dinasihati?

Sumber: mingguanwanita


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Celoteh Lee Aziz All Rights Reserved