Ketika peluang bertanyakan soalan dibuka, seorang wanita duduk paling belakang mengangkat tangannya. Tanyanya, “Kadang-kadang saya tak faham dengan suami saya, dia macam tak sayang, tapi bila saya tanya sayang tak, dia jawab sayang tapi nak tunggu dia kata sendiri memang tak dapat. Kenapakah orang lelaki begitu? Apakah itu menunjukkan mereka memang tak kisah dengan perasaan para wanita?”
Wanita ini adalah yang paling anggun pada pandangan mata saya pada hari itu. Dia adalah salah seorang peserta bengkel motivasi meningkatkan kecemerlangan organisasi saya. Malah, dalam salah satu aktiviti yang dijalankan, beliau mendapat perkataan ‘ANGGUN’ daripada peserta lain, menunjukkan pandangan dan penilaian saya tidak salah. Tetapi apabila beliau memberikan soalan sedemikian rupa, timbul pula rasa kesian di hati saya, hingga terdetik kata-kata begini di hati saya, ‘Kesiannya, muka lawa pun suami boleh buat tak peduli.’
Maka, saya pun terus menjelaskan. Kata saya, “Kalau mengharapkan lelaki kata I love you selepas kahwin memang tak dapat. Orang lelaki bukan tak sayang, tapi mereka tak pandai melahirkan kata-kata sayang itu. Pada orang lelaki ini remeh saja, jadi mereka rasa tak penting untuk disebut-sebut selalu. Dalam kata lain, orang lelaki memang buta kayu dari sudut ini setelah berkahwin. Mereka hanya pandai sebelum berkahwin, tetapi selepas berkahwin, usah haraplah mereka kata sayang, cinta, kasih dan sebagainya, memang tak dapat.”
Kata-kata saya itu disambut oleh seorang peserta lelaki dengan kata-kata, “Betul, betul, betul,” sambil mengangguk- angguk dan tersengih-sengih.
Kata saya lagi, “Cara orang lelaki menunjukkan kasih sayang mereka ialah dalam bentuk benda. Nanti, setahun kemudian tiba-tiba dia balik dengan membawa geran tanah. Apabila ditanya oleh isteri, geran apa ni bang? Tengoklah, katanya. Apabila ditengok rupanya nama si isteri pada geran berkenaan. Eh, nama saya ni bang? Iya, memang nama awak. Maknanya abang beli untuk saya ye? Iya, siapa lagi. Haaa, itu cara orang lelaki tunjukkan dia kisah, dia prihatin, dia sayang, dia kasih, dia cinta, iaitu dengan benda dan biasanya benda itu mahal dan tak terjangka sama sekali. Jadi, dah faham? Kalau dah faham, tak usah kecil hati suami tak pernah ucap I love you pada awak, tak bermakna dia tak sayang, cuma caranya berbeza.”
Lalu otak saya pun merumuskan mengapakah soalan demikian yang ditanyakan oleh wanita berkenaan, iaitu beliau sedang berada dalam dilema oleh banyak pilihan. Banyak pilihan? Bukankah dia sudah berkahwin? Ya, dia sudah berkahwin tetapi dia sedang digoda oleh ramai lelaki. Orang cantik tentulah menjadi perhatian dan tentulah tidak sikit-sikit lelaki yang mencuba nasib meskipun mereka tahu itu isteri orang. Di kalangan mereka tentu ada yang mula mekar di hati hingga timbullah rasa untuk membanding-bandingkan.
“Lelaki A sudah berkahwin juga, tapi dia cukup prihatin. Hari-hari dia hantar SMS yang lunak berbanding lelaki B, C dan D, apatah lagi suami aku sendiri, aku hantar mesej jiwang pun tak dibalasnya. Kalau balas pun, ‘dah buang tabiat agaknya’, itu yang dapat.”
Dua keadaan ini memaksa kita berdiri di tengah-tengah. Sebagai lelaki, meskipun majoriti suami tidak tahu menyatakan rasa kasih dan sayang, belajar-belajarlah menyatakannya, kalau tidak isteri anda bakal diambil orang. Kepada wanita pula, meskipun lelaki lain kelihatannya lebih memahami, lebih prihatin, lebih penyayang daripada suami sendiri, ketahuilah setelah anda memilikinya kelak, keadaan yang sama akan berlaku juga kerana majoriti lelaki memang tidak pandai menunjukkan kasih sayang pada pasangan.
Tiga petua untuk menjadikan suami sentiasa sayangkan anda iaitu pertama; kurangkan mengada-ngada, kedua merajuk sesekali sahaja dan ketiga terus menyatakan cinta, kasih dan sayang anda meskipun tanpa balasan.
Lakukanlah tiga perkara ini meskipun suami kadang-kadang bagaikan ‘buta kayu’ dan berhati batu.
Sumber: mingguanwanita
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment