Iklan Sat

Kembali Dara

Kembali Dara

Adus Isteriku Nak Jadi Artis

on Monday 22 October 2012



“Salam, Dr. Tuah. Saya menghadapi masalah yang sangat besar. Saya sudah berkahwin tetapi keluarga tak mengetahui. Pada mulanya saya ingatkan perkahwinan ini berjaya, namun masalah lebih besar apabila isteri mahu melibatkan diri dalam bidang lakonan.


“Saya tak kisah pada mulanya tetapi dia mula mengabaikan saya menimbulkan rasa tidak puas hati. Dia juga mengadu penat dan menghabiskan banyak wang dan paling saya tak suka ialah dia perlu berpegang tangan dengan lelaki lain apabila berlakon malah mungkin akan berpeluk dan membuka tudung.

Saya sudah nasihat tapi dia masih mahu atas alasan minat. Saya buntu kerana jika saya tidak menurut kehendaknya maka dia mahu minta cerai sedangkan dia dahulu yang mahukan perkahwinan ini.

Saya berubah demi dia. Segalanya saya korbankan tapi prinsip saya tidak difahami. Saya bimbang dia akan melakukan dosa apabila berlakon. Maklum sahajalah. Tapi saya tak mahu bergaduh dengannya lagipun tak ramai tahu kami kahwin.

Sekarang ini saya bimbang dia balik lewat malam dan dihantar oleh lelaki sewaktu latihan. Saya tidak dapat mengambilnya kerana masalah kewangan dan kenderaan. Saya risau tapi saya nak pendapat Dr. apa yang patut saya buat?

E-mel ini saya pilih meskipun ia daripada seorang lelaki tetapi tidakkah ia berpunca daripada seorang wanita juga? Sebenarnya amat jarang lelaki hendak mengadukan masalah mereka. Sebab itulah saya angkat e-mel ini kerana ia mungkin mewakili ramai lagi lelaki dalam status serupa.

Lantaran majalah MW juga dibaca oleh lelaki, saya fikir perkongsian di sini adalah relevan.

Saya telah menasihati lelaki berkenaan (penanya) supaya tidak usah merahsiakan lagi perkahwinan mereka. Terima sahajalah apa-apa risiko yang mungkin timbul. Sampai bila hendak menyembunyikannya dari pengetahuan ibu bapa dan orang ramai?

Bayangkan kalau sudah tua, punya anak atau anda meninggal dunia dan meninggalkan harta, keadaan jadi sangat sulit sekali. Lihat sahaja sekarang, isteri bertindak seolah-olah dia masih seorang gadis sebab dia tahu orang tidak tahu statusnya yang sebenar.

Saya bayangkan isteri lelaki ini seorang yang cantik, kalau tidak masakan boleh terjun ke bidang lakonan. Hmmm, bukankah saya pernah katakan dahulu risiko berkahwin dengan orang cantik? Andainya cantik dan beriman ia bukanlah masalah tetapi jika sebaliknya, ditambah pula perkahwinan rahsia, ia memang berisiko tinggi.

Memang benar seperti apa yang dirisaukan itu iaitu isteri mungkin akan berpegang-pegang tangan,berpeluk-peluk dengan lelaki sewaktu dalam lakonan, malah tidak mustahil juga di luar lakonan.

Kalau di tengah orang ramai sewaktu berlakon boleh berpegang-pegang tentulah di luar penglihatan orang lebih-lebih lagi. Risiko menjadi suami kepada isteri yang begini ialah dayus andainya tidak sanggup menegur.

Kepada wanita yang amat teruja untuk jadi glamor melalui bidang seni ingatlah ia akan menuntut banyak pengorbanan. Pada mulanya ia amat indah, tetapi dunia selebriti tidak pernah sunyi dari pelbagai masalah. Andainya ia tidak disebabkan oleh masalah biasa yang terpaksa dihadapi oleh setiap artis, masalah dalaman lambat laun akan datang juga. Setelah berada dalam dunia motivasi serta menjadi terkenal baru saya tahu dunia ini juga tidak kurang dengan masalah.

Siapa sangka ada motivator yang sanggup memfitnah motivator lain untuk kepentingan peribadi. Seandainya saya berada di luar sudah tentu saya pun tidak akan percaya. Apalagi dunia artis yang memang hidup oleh panasnya gosip. Ingat pesanan Allah S.W.T yang bermaksud, “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. Kerana bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’, ayat 32)

Kepada semua pasangan, ingatlah status anda ketika hendak berbuat sesuatu dan ambil kiralah hati pasangan anda ketika hendak mengambil keputusan. Untuk apa berkahwin kalau masih hendak hidup bebas dan merahsiakan perkahwinan itu? Bukankah perkahwinan bererti titik berhenti pada apa-apa juga kegiatan haram yang pernah dilakukan?

Sumber: mingguanwanita

Ranking: 5

{ 1 comments... read them below or add one }

Unknown said...

singgah bc entry.... :)


24 October 2012 at 07:54
 
© Celoteh Lee Aziz All Rights Reserved