Jika anda tidak diminati di alam nyata, usahlah terlalu bersedih sebab ada peminatnya di alam ghaib. Siapakah yang meminati kita di alam ghaib? Sekurang-kurangnya qarin kita adalah peminat kita yang utama, cuma oleh kerana qarin adalah sejenis jin yang kerjanya adalah bertentangan dengan kehendak-kehendak baik yang ingin kita lakukan, ia adalah peminat yang tidak boleh kita ‘sukai’, namun ia tetap peminat yang paling hampir.
Usah hargai peminat ini sebab kita ada satu lagi peminat yang lebih baik, ia adalah malaikat yang kerjanya membisikkan perkara-perkara yang baik pula. Jadi, usah terlalu hampa jika anda tidak diminati di alam nyata, sekurang-kurangnya di alam ghaib ada dua jenis makhluk yang sangat pedulikan anda.
Apakah qarin? Ia sejenis jin sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Pada umumnya qarin ini kerjanya adalah mendorong manusia berbuat jahat. Ia membisikkan was-was, melalaikan solat, rasa berat hendak membaca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja keras menghalang kita membuat ibadah dan kebaikan.
Firman Allah, “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, KAMI akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu (qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43: 36)
Untuk mengimbangi perbuatan tidak baik qarin ini, Allah utuskan malaikat, ini adalah peminat kita yang lebih kita perlukan. Ia membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak kita membuat kebaikan pula, bertentangan dengan misi qarin.
Sekarang terpulanglah kepada kita hendak mengikut yang mana. Kedua-duanya adalah peminat kita yang tegar, kita mahu persilakan yang baik atau kita mahu persetankan yang jahat.
Tahukah anda, oleh kerana kita orang Islam, kita mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarin kita lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillahirohmannirohim” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah, qarin akan menjadi lemah, lantas bertukar menjadi penguat pada kehendak-kehendak motivasi diri kita.
Rasulullah SAW bersabda, “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya, “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya, “Ya aku juga ada, tetapi ALLAH telah membantu aku sehingga qarin itu dapat aku Islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Muslim dan Ahmad)
Aisyah RA menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata, “Aku berasa cemburu.” Tiba-tiba baginda SAW berpatah balik dan bertanya, “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata, “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda SAW, “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya, “Apakah aku ada syaitan?” Sabda baginda SAW, “Setiap insan ada syaitan, iaitu qarin.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga qarinku telah masuk Islam.” (Muslim)
Jadi, usah terlalu bersedih oleh kita tidak dipedulikan kerana kita sentiasa ada peminat-peminat kita dan pendamping-pendamping kita. Tatkala kita bersendirian, ingatlah kita tidak pernah bersendirian kerana kita sentiasa ditemani oleh mereka.
Setiap kali anda merasakan seperti terlalu tidak berguna kerana tiada sesiapa meminati anda, ingatlah ia adalah bisikan qarin, sebaliknya iakanlah kata-kata begini, ‘Tidak, engkau tidak bersendirian kerana Allah sentiasa bersama engkau. Ingatlah Allah, hati engkau akan menjadi tenang,’ ia mungkin bisikan dari malaikat.
Yang utama, bahagialah dan keluarlah dari kesedihan. Besarkan bisikan malaikat dan kecilkan hasutan qarin, kita akan tenteram mengharungi bilah-bilah hari selamanya
Sumber: mingguanwanita
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment