Malah, kereta kebangsaan kita dahulu adalah Mitsubishi di Jepun sebelum ditukar namanya kepada Proton Saga di sini. Andainya kita hendak menamakannya sebagai palsu itu adalah nama yang kita pilih sendiri sebab kita boleh mengelarnya penjelmaan semula bukan?
Ekoran tidak mampu membeli sebuah Lamborghini Reventon berharga sekitar AS$1.6 juta (RM4.9 juta), seorang petani di China membina sendiri kereta sport berkenaan. Wang Jian membina kereta itu daripada beberapa bahagian badan dua kereta terpakai jenama Nissan dan Santana. Lamborghini Reventon itu menelan kos 60,000 yuan (RM29,526) untuk dibina.
Pihak media China tidak memanggilnya Lamborghini Reventon palsu tetapi replika Lamborghini Reventon. (Reuters 1 September 12) Jika mereka memanggilnya kereta palsu, maka ia menjadi palsu tetapi mereka tidak memanggilnya begitu, lantas ia menjadi satu bentuk inovasi yang dibanggakan oleh seluruh rakyat China.
Kelulusan yang diperoleh dari universiti yang tidak diiktiraf kerajaan juga bukanlah palsu, ia adalah alternatif, sebab di negara luar ia diiktiraf. Sebagai mana kita memilih ‘sensei’ di kedai ubat ketika diserang penyakit, itu adalah alternatif berbanding kita pergi ke hospital kerajaan atau swasta sebagaimana biasa.
Malah, ada orang lebih selesa berjumpa Pak Abdul di sebelah rumah setiap kali sakit meskipun mereka tahu Pak Abdul tidak pernah ada kelulusan dalam bidang perubatan. Salahkah perbuatan orang ramai mengunjungi Pak Abdul? Andainya Pak Abdul seorang pengamal perubatan Islam adalah tidak salah mendapatkan bantuannya.
Tiada rotan akar pun berguna, itu istilah orang tua-tua untuk memberitahu apa-apa sahaja boleh digunakan apabila yang utama tiada. Bolehkah kita hukum akar sebagai palsu dan hanya rotan yang betul? Sebelum adanya tali jerami, orang menggunakan tali yang disiat dari batang pisang.
Jujurlah berkata tidak cinta Cuma satu sahaja yang palsu dan ia kekal palsu iaitu cinta. Cinta palsu akan selamanyalah palsu biar telah diikat oleh tali pertunangan atau tali perkahwinan kalau hati tidak rela dan tidak cinta.
Cinta yang begini menyimpan pelbagai kemungkinan. Apabila dua insan saling menyimpan cinta palsu tunggulah bermacam-macam hal akan timbul oleh keduanya. Hampir semua perkahwinan oleh cinta palsu akan bermasalah.
Manakan tidak, hati tidak rela tetapi tubuh terpaksa diserahkan juga, sudah tentu adegannya tidak sebaik yang benar-benar rela dan cinta. Perhubungan badan tanpa cinta suci adalah hambar kerana kerap dibancuh imaginasi-imaginasi tidak seharusnya.
Tidak usah bermodalkan cinta palsu tatkala anda benar-benar tidak cinta. Hanya nyatakan istilah ini sekiranya hati anda benar-benar tidak cinta. Usah katakan cinta sedangkan hati anda tidak. Cinta yang didustai pada awalnya lagi akan terus didustai hingga ke akhirnya nanti, kecuali sanggup melakukan anjakan paradigma setelah bersatu nanti, maka cinta yang asalnya palsu itu akan menjelmalah menjadi tulen.
Usah perdagangkan cinta palsu, ia tidak membawa ke mana-mana. Bercinta itu indah, usah cemarkan dengan pura- pura mencintai. Andainya tidak cinta, usah berikan yang palsu tetapi jujurlah untuk berkata anda tidak mencintainya. Bebaskan dia daripada menyangka cinta palsu anda itu sebagai tulen.
Anda yang diberikan cinta palsu, setelah diberitahu hal begitu, usahlah berdegil lagi, pergilah dan carilah cinta yang lain pula. Usah merayu lagi sebab apabila seseorang dalam keterpaksaan memberikan cintanya dia akan menjual dengan harga yang mahal selama selamanya. Terkadang kebahagiaan kita berpunca dari kedegilan kita sendiri kerana sanggup mempertaruhkan cinta suci kita untuk ditukar ganti dengan yang palsu. Cinta suci bahkan adalah penyelamat pada hati yang telah mati, cinta palsu bukanlah jawapannya.
Sumber: mingguanwanita
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment