Kitakah yang asyik ketawa
mentertawakan diri sendiri
ketika layar besar
melantunkan cerita lama yang sama.
Kitakah Abdul Wahab dan Abdul Wahib
yang tamak haloba
sanggup menyingkirkan
saudara kandung
apabila nafsu gagal dibendung.
Atau kita Sidiq Sigaraga
saudagar barang purba
memutar belit menukar cerita
takut miskin digunakan pelbagai cara
nafsu serakah tak kenal siapa
anak menantu menjadi mangsa
Kita bukan penasihat dua puluh lima persen
asal duit masuk ke kantung
nasihat sampah selayaknya ke dalam tong.
Atau kita ini seperti Engku Karim
anak dara dilarang bercampur lelaki biasa
dirinya tak mengapa berahi dengan perempuan dansa
Kitakah Sultan Beringin Rendang dan Baginda Masai
asyik bertaruh hingga negara tergadai
Atau kita si tangkai jering itu
si bakhil yang berkira
jika lelaki yang meminta
memberi percuma kepada si cantik
kain putih 10 ela dan duit dalam peti besinya
Mungkin kita lagaknya seperti si pemandu dan tukang masak
asyik berangan sehingga tak kenal subuh tak kenal isyak
Adakah kita macam Menteri Nikah Kahwin
akan berkata 'tak apa' undang-undang boleh diubah
kerana dirinya sendiri yang mengubah
Dan ketika si benggali berkata kepada bangsa yang masih terlena
“You punya rezeki you makan , dia punya rezeki dia makan, apa salah makan sama-sama.”
aku jadi terkesima.
Masihkah kita akan tertawa?
tak faham yang tersirat
dalam filem-filem lama.
Lee Aziz
3 Syawal 1433H
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment