Sukarnya mengekalkan kejujuran dan begitu mudah anda melampiaskan kemarahan kepada pasangan dan anak-anak? Jom kenali diri,  siapa anda dan mengapa perlu mengubah sikap mulai sekarang!
Kita memang mudah rasa marah, tidak puas hati dan bersangka buruk terhadap orang lain. Inilah perkara-perkara negatif yang sering membelenggu hidup. Dalam rumah tangga, kalau suami balik lewat, isteri mesti marah-marah. Memikirkan yang bukan-bukan. Beranggapan mungkin suami ada perempuan lain di luar sana. Bagi suami pula, kalau nampak isteri bersiap cantik-cantik ke pejabat, dalam hatinya mesti terdetik, lelaki manalah dia nak mengurat kat pejabat tu? Akibatnya, masing-masing timbul rasa tidak puas hati.
Kalau sudah ada prasangka, pantang ditanya sikit, mesti nak melenting. Masing-masing mulalah tunjuk ‘belang’. Marah tak pasal-pasal. Silap-silap anak-anak yang langsung tak ada kena mengena terkena tempiasnya. Masing-masing hendak menang. Langsung tidak mahu mengalah. Semua ini kerana percaya diri betul. Bayangkanlah jika hal ini berlarutan, porak-perandalah rumah tangga. Jadi, sedarlah cepat sebelum terlambat. Peliharalah rumah tangga yang sudah dibina sebaiknya agar berbahagia anda di dalamnya dan kata-kata rumah ku syurga ku menjadi kenyataan.
Selain berprasangka, ada di kalangan kita yang terlalu berpegang kepada prinsip diri. Misalnya, prinsip tidak mahu mengalah. Inilah yang banyak berlaku dalam rumah tangga. Suami selalunya susah hendak minta maaf atau mengalah pada isteri semata-mata berpegang kepada prinsip lelaki tidak boleh tunduk pada wanita. Keegoan mereka mudah tercabar terutamanya apabila berhadapan dengan wanita yang bergelar isteri kerana sepatutnya isteri taat kepada suami. Isteri pula tidak kurang hebatnya kalau bertengkar. Katanya, dia pun ada prinsip. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah. Tidak kira walaupun yang salah itu suami merangkap ketua keluarga yang sepatutnya dihormati. Ya, tidak salah menegur, tetapi kenalah pada tempat dan caranya. Jangan sampai ada yang tersentuh. Disebabkan berpegang kepada prinsip masing-masing inilah, suami isteri sering tidak sehaluan. Jadi, bersatulah. Kembalilah kepada fitrah. Sedangkan Allah SWT bersedia mengampunkan hambanya walau seluas lautan dosanya, ini pula kita yang kerdil ini.
Ramai orang berkata, pengalaman silam menjadi pengajaran. Tapi, pengalaman ini jugalah yang selalunya menghalang kita untuk merai kejayaan. Pengalaman buruk seperti pernah dikecewakan oleh suami pada masa lalu membuatkan kita langsung tidak percaya padanya walaupun hakikatnya dia sudah berubah. Inilah yang perlu kita sedar. Bebaskan diri daripada belenggu. Berfikirlah secara positif. Bantulah dia untuk berubah dan terus meninggalkan tabiat lama. 
Berfikiran secara terbuka
Harus juga diingat bahawa dalam membuat apa sahaja keputusan dalam rumah tangga, anda mestilah berfikiran secara terbuka. Bukan memihak sebelah pihak sahaja. Jika rumah tangga dilanda krisis, cuba cari jalan penyelesaian terbaik. Ketahuilah bahawa sebagai manusia, kita telah dibekalkan dengan hati yang benar-benar suci. Cuma, kesucian hati itu telah ditutup oleh banyak benda negatif  sehingga kita langsung tidak sedar kewujudannya. Jadi, berusahalah untuk mencari dan menggunakannya dalam mendapatkan keredaan Allah SWT dalam setiap yang kita kerjakan.
Setiap keputusan yang dibuat juga mestilah memikirkan tentang kesan dan akibatnya pada masa akan datang dan bukan sekadar untuk tempoh yang singkat. Diakui, dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian, masing-masing mengeluarkan pendapat yang pastinya memihak kepada diri sendiri. Bagi memastikan pendapat itu lahir dari hati yang suci, jernihkanlah fikiran anda. Belajarlah melihat sesuatu itu dengan lebih dalam dan bukan dari luarannya sahaja.
Apa pun, sebelum semua yang dinyatakan di atas boleh dilaksanakan dengan sempurna, anda perlu sedar diri. Kenal siap diri anda. Ramai tidak sedar betapa kecilnya kita di dunia. Akibatnya, tanpa segan silu sering membangga diri membanding-bandingkan diri dengan orang lain yang sebenarnya sama sahaja seperti anda.
Sejak dilahirkan anda telah ditiupkan roh yang sungguh murni. Penuh dengan sifat-sifat mulia seperti sukakan kedamaian, kecantikan, ketenangan dan banyak lagi. Lantaran itu, sanggupkah anda menidakkannya? Walau apa pun ajaran agama anda, tidak pernah diajar melakukan perkara yang buruk. Jadi, tepuk dada, tanya selera. Jika hati inginkan hanya yang baik, mengapa anda sanggup bertindak sebaliknya. Begitulah juga halnya jika anda inginkan yang baik daripada isteri, lakukanlah yang terbaik untuknya. Kalau anda senang bersamanya, pasti dia senang bersama anda.  
Ketahuilah bahawa ketenangan dalam rumah tangga tidak akan dirasai jika anda tidak berusaha ke arahnya. Oleh itu, berusahalah. Sekiranya wujud sebarang masalah, berbincanglah. Suami dan isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang segala hal yang berkaitan dengan urusan rumah tangga. 
Rata-rata, bila ditanya tentang apa yang diinginkan daripada suami atau isteri, maka  ramai tanpa waswas memilih kejujuran pada tangga teratas. Nyata, kejujuran adalah nilai utama dalam kehidupan. Akan tetapi kejujuran semata-mata tidak menjamin keharmonian rumah tangga. Perlu ada 6 lagi sifat mulia yang harus digarap dan diadun bersama agar rumah tangga idaman menjadi kenyataan. Sifat-sifat lain itu ialah bertanggung jawab, berwawasan, berdisiplin, bekerjasama, adil dan prihatin.

7 sifat mulia dalam rumah tangga
1. Jujur
Sama ada anda suami atau isteri, jujur terhadap pasangan sangat penting. Elakkan diri daripada berprasangka buruk terhadap pasangan. Buang jauh-jauh sifat negatif itu dari diri. Apabila hati sudah bersih, anda pasti akan lebih sayang dan cinta padanya.
2. Bertanggung jawab
Kedua-dua belah pihak mesti tahu tanggung jawab masing-masing setelah diijabkabulkan. Sekiranya suami dan isteri menjalankan tugas yang diamanahkan sebaiknya, pasti tidak akan berlaku pertelingkahan. Dalam sesebuah institusi keluarga, suamilah yang bertanggung jawabnya memastikan seluruh ahli keluarga dijaga dan dibimbing sebaiknya mengikut jalan yang diredai Allah. Bagi isteri dan anak-anak pula, mereka bertanggungjawab mengikuti segala tunjuk ajar dan perintah suami selagi tidak bertentangan dengan kehendak agama.
3. Berwawasan
Semua pasangan suami isteri haruslah berbincang untuk menetapkan matlamat atau arah tuju keluarga. Matlamatnya haruslah sama agar perjalanan hidup lebih terarah. Dalam pada itu, masing-masing perlu sedar tujuan asal kita diwujudkan dalam dunia ini dan tahu kepada siapa kita akan kembali kelak. Barulah hidup lebih diberkati dan diredai.
4. Disiplin
Untuk memastikan matlamat tercapai, suami isteri malah seisi keluarga haruslah berdisiplin. Melakukan setiap yang disuruh agama dan meninggalkan apa yang dilarang. Ketahuilah bahawa disiplin teras kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat.
5. Bekerjasama
Apa yang penting kerja sama. Sesuatu pekerjaan jika dilakukan bersama-sama, mesti akan jadi lebih mudah. Berat sama dipikul, ringan sama dijunjung.
6. Adil
Tidak kira suami ataupun isteri, anda mestilah sentiasa bersikap adil dengan semua orang agar rumah tangga aman dan damai sepanjang masa. Walau bagaimanapun, anda perlulah memahami tentang konsep adil itu sendiri melaksanakannya. 
7. Prihatin
Rajin-rajinlah mengambil tahu apa yang berlaku di dalam keluarga anda. Selalu bertanya apa yang telah dilakukan mereka setiap hari. Jika ada yang tidak kena, perbetulkan segera. Hal ini penting bagi mengelakkan ahli keluarga anda tersasar jauh dari landasan sepatutnya yang telah ditetapkan oleh anda.

Kewajipan suami
  • Suami ialah ketua keluarga. Oleh itu, suami mestilah menjaga keluarga sebaiknya. Seorang suami mestilah mengawal, membimbing, mencari nafkah, menjaga keselamatan seisi keluarga, dan banyak lagi.
  • Selain menyediakan segala kelengkapan material untuk keluarga, suami juga perlu memastikan jiwa setiap ahli keluarga diisi dengan didikan agama secukupnya. Ketahuilah bahawa didikan agama sangat penting. Oleh itu, sekiranya suami tidak mampu mengajar sendiri, maka carilah orang yang berkelayakan untuk mengajar isteri, anak-anak dan diri sendiri.
  • Dalam hal mendidik ahli keluarga, suami perlulah menggunakan konsep menjadi contoh terbaik, belas kasihan dan berakhlak mulia.

Kewajipan isteri
  • Setiap isteri perlu taat pada suaminya. Segala tindakan tidak boleh membelakangkan suaminya.
  • Isteri juga perlu menjaga kehormatan diri dan nama baik suami ketika keluar rumah.
  • Isteri mestilah sentiasa kemas dan kelihatan menarik di hadapan suaminya dan mampu membahagiakan suami zahir dan batin.

11 amalan mulia dalam keluarga
  1. Sentiasa bersabar dan tabah menghadapi segala dugaan yang mendatang.
  2. Sentiasa memaafkan orang yang melakukan kesilapan.
  3. Saling tolong-menolong antara satu sama lain.
  4. Bersikap jujur dengan sesiapa sahaja.
  5. Saling sayang-menyayangi.
  6. Boleh bertolak ansur.
  7. Bertanggungjawab dan amanah.
  8. Elakkan diri daripada sifat-sifat negatif.
  9. Sekiranya ada masalah, berbincanglah bersama ahli keluarga.
  10. Mesti bersikap terbuka dan bersedia menerima kritikan.
  11.  Sentiasa senyum.                                                       Sumber: pama