Iklan Sat

Kembali Dara

Kembali Dara

Terlalu Berkira Akan Dikira

on Friday, 28 September 2012




Apabila bekerja, kita tidak harus berkira dalam semua yang kita harus kerjakan. Misalnya, jawatan kita kerani akaun, sesekali tidak salah membuang sampah yang terdampar lama berhampiran tong sampah. Ambillah sampah itu dan masukkan ke dalam tong sampah.

Ia tidak termasuk dalam spesifikasi kerja kita, tetapi tidak salah kalau kita tolong masukkan sampah itu ke tempat yang seharusnya. Ia tidak menurunkan kedudukan kita sebagai kerani akaun pun.

Begitu juga apabila kita tinggal dalam sebuah rumah bersama kawan-kawan. Tidak boleh kita katakan, “Ini kerja engkaulah sapu sampah. Aku hanya penyewa bilik aku.” Mengapa tidak katakan sahaja, “Ini kerja tuan rumah, bukan kerja kita. Kita dah bayar sewa rumah, dialah yang kena pastikan rumah kita ni bersih sepanjang masa.”

Soalnya mahukah anda kalau tuan rumah hari-hari datang ke rumah sewa anda itu untuk membersihkannya? Tentu anda akan lemas melihat mukanya hari-hari. Hilang privasi bukan? Jadi, setelah kita berkahwin, kita juga tidak harus begitu berkira dengan pasangan kita. Meskipun tidak begitu salah jika hendak berkira terutama soal gaji dan perbelanjaan rumah, tetapi kalau berkongsi masalah tentu kita juga dapat berkongsi kegembiraan.

Kalau terlalu berkira kita akan jadi orang asing dalam rumah kita sendiri. “Eh, tak boleh makan yang ini, ini suami aku yang beli. Eh, tak boleh guna mesin basuh ini sebab ini guna duit suami.” Habis, bagaimana dengan tinggal serumah di bawah satu bumbung? Apakah kita hendak mengatakan, “Eh, tak boleh tinggal dalam rumah ni, kena bayar sewa.” Kalau suami isteri pun saling sewa menyewa itu bukanlah perkahwinan namanya.

Punca banyak perselisihan rumah tangga adalah apabila masing-masing saling berkira. “Tahun lepas dah balik raya rumah abang, tahun ni rumah sayalah pulak. Kalau abang nak balik jugak rumah mak abang tu, kita cerai saja.” Kalau begitu susahlah hidup, pasti tiada kebahagiaan akan anda kecapi sepanjang bergelar suami ataupun isteri.

Yang betul, saling bertoleransi. Kongsi kegembiraan, kongsi kedukaan. Tidur pun sekatil, cubalah samakan mimpi. Usah terlalu berkira kelak sendiri juga yang merana. “Oleh kerana awak terlalu berkira, ini senarai belanja hidup bersama. Sila bayar.”

Dalam senarai itu ada bil air, bil elektrik, kos guna peralatan dapur, kos guna ruang tamu, kos tonton tv, kos guna bilik air, kos naik kereta bersama dan lain-lain. Kelakar juga kalau hal sedemikian terjadi, tetapi tahukah anda hal sebegini memang terjadi.

Kalau kita boleh belanja kawan di restoran hingga beratus ringgit harganya, kenapa apabila tiba pada suami atau isteri kita hendak berkira pula? Macam mana kalau anak lahir nanti? Apakah kita hendak berkira juga dengan anak?

Hilang bahagia Ketika anak itu telah mencecah umur 20 tahun, kita pun keluarkan senarai ‘Belanja Membesarkan Engkau’. Nanti, ketika kita berusia 60 tahun, dia pula mengeluarkan senarai unjuran belanja untuk memelihara kita sehinggalah ‘padam’.

Usah terlalu berkira sebab kira-kira yang sebetulnya sedang dilakukan oleh Allah dengan sebenar-benarnya. Satu pun tidak tertinggal. Tiada manusia dapat menandingi kira-kira Allah biar sedetail mana pun dia. Kita mesti akan terlepas pandang atau tertinggal, ataupun terlebih dalam membuat perkiraan kita biar sehebat mana kebolehan matematik kita.

Biarlah Allah sahaja buat kira-kira- Nya terhadap kita sebab Allah pasti adil dan saksama. Mana-mana kebaikan yang kita lakukan biar Allah yang menilai dan mencatatkannya buat kita, moga-moga sebarang kesalahan yang kita lakukan terhadap pasangan kita dapat dibasuh pula oleh kebaikan-kebaikan yang dicatatkan itu.

Orang yang terlalu berkira pasti akan hilang bahagia, tidak terkira-kira banyaknya bahagia yang hilang itu. Samalah sebagaimana orang yang bekerja apabila terlalu berkira tentang kerjanya, dia pasti tidak mendapat pertolongan kawan-kawan sekerja kerana mereka juga akhirnya akan terlalu berkira juga. Bayangkan kalau majikan pula terlalu berkira, bahagiakah anda bekerja di tempat begini? Mari jadi orang yang ikhlas, tidak terlalu berkira agar orang lain juga ikhlas terhadap kita.

Sumber : mingguanwanita

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Celoteh Lee Aziz All Rights Reserved