Seingat penulis, bukan sekejap tempoh perkenalan kami lantaran tugas beliau sebagai Pengurus Perhubungan Awam di Avon Malaysia. Ketika bersua, beliau seperti yang sudah dijangka, tampil fashionista dengan kemeja dan jeans kasual bersama sehelai tweed jacket di tubuh. Sekali imbas, persis selebriti Irma Hasmie bila dijeling dari sisi. Ya, gaya wanita Cina Muslim yang berhidung mancung ini memang selayaknya dipuji!

Sambil membetulkan lilitan turban, Aisyah yang menggemari koleksi tudung dan selendang Butik D’Haja ini membuka bicara tentang langkah pertamanya bergelar Muslim. “Nama asal saya ialah Chua Siew Keng sebelum saya menukar agama pada tahun 1998, sebetulnya sebelum berkahwin. Sewaktu itu saya bekerja di Singapura dan mengambil keputusan untuk berkursus di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Banyak keindahan Islam yang saya saksikan, seterusnya membuat saya sedar bahawa agama ini bukan untuk orang Melayu sahaja. Bila pulang ke tanah air, saya melafaz syahadah sekali lagi di bawah JAKIM untuk kebenaran menukar agama.” Tutur wanita berusia 36 tahun ini.


BERHIJAB

Sebagai Pengurus Perhubungan Awam, Aisyah memikul tanggungjawab untuk mengekalkan reputasi dan nama baik syarikat, baik dalam aspek promosi mahupun iklan. Jadual hariannya sentiasa padat dengan temu janji bersama golongan media, artis serta pihak korporat seperti agensi kerajaan, bank dan NGO. Timbul tanda tanya, apakah reaksi Aisyah bila berhadapan persepsi orang ramai yang selalunya memandang rendah pada individu bertudung?

“Selepas mula bertudung secara sepenuh masa pada Hari Raya Haji dua tahun lepas, saya rasa lebih lega dan yakin. Perasaan ini berbeza dengan perasaan ketika masih bertugas di sektor perhotelan dulu. Saya perlu akur pada polisi hotel yang tidak membenarkan  kakitangan bertudung. Jadi hasrat tersebut terpaksa ditunda sehinggalah saya melangkah ke organisasi Avon.

Di sini, saya bertuah kerana syarikat tidak mengenakan sekatan kepada kami untuk bertudung malah saya fikir, kini saya dapat lebihkan banyak masa untuk agama. Alhamdulilah selepas saya buat solat istikharah, hajat saya dipermudahkan. It’s time for me to change dan Allah pun sudah buka jalan- Nya.” Katanya lembut.


TENTANGAN

Setiap perubahan pasti tidak akan lepas daripada dugaan. Menurut Aisyah, keputusannya untuk menyarung tudung pernah mendapat tentangan keras daripada keluarga kandung, termasuk bapa tersayang. “They are not so encouraging. They don’t understand why some born muslim no need wear tudung but me as a convert has to do so. Mereka memang tak suka melihat perubahan imej ini.

Tapi saya akan selalu cakap, I’m still the same me . Pakai tudung atau tidak, hati saya masih sama. Saya tetap anak mereka. Cabaran bertudung ini sememangnya sangat besar, sampaikan bapa dan adik saya menentang kedatangan saya bila kami sekeluarga pulang ke Johor. Apa yang saya termampu buat, hanyalah bersabar. Pernah saya bertemu ustaz untuk mendapatkan nasihatnya. Dari situ, saya kembali membulatkan hati untuk terus tabah. Katanya saya harus bertindak perlahan-lahan dan terus menjaga hati ibu bapa seperti biasa.

Jadi setiap kali pulang ke kampung, saya akan membuka tudung dan hanya duduk di rumah untuk menyenangkan hati mereka.”


RUJUKAN

Sebagai pendatang baru, Aisyah banyak membuat rujukan gaya menerusi majalah Muslimah seperti Nur dan juga melayari blog-blog tudung. “Seseorang itu perlu faham bahawa memakai tudung adalah kewajipan dan bukan semata-mata nak ikut trend. Yes, we can be trendy tetapi niat kena betul.

Saya masih seorang yang trendy dan mengikut peredaran zaman. Penampilan saya selalu dipengaruhi kesesuaian majlis, khasnya dengan Avon, kami sentiasa ada pelbagai events yang menarik dan memerlukan kod pakaian berbeza-beza. So, I will dress according to the theme. Kalau bercuti, gaya saya lebih kasual kerana bersama anak-anak kecil, jadi saya memilih pakaian seperti T-shirt dan jeans.”