Sukan baru sahaja berahir untuk beberapa acara. Lantas kanak-kanak lain membuat hal masing-masing. Seorang kanak menghampiri saya. Mungkin cuba untuk berkawan ataupun cuba bermanja mungkin. Hehe. Umurnya tidaklah terlalu besar. Sekitar darjah 3 atau 4 mungkin rasanya. Saya tahu dia baru sahaja menyertai sukan sebentar tadi dan tidak memenangi hadiah ataupun tempat. Biasalah, dalam pertandingan ada menang ada kalah.
Saya cuba mengusik dia. “Menang ke tadi?” Sengaja soalan itu dilontarkan walaupun seolah-olah tahu apa jawapannya.
“Tak menang pun. Yang penting usaha.” Jawab kanak-kanak itu tegas.
Jawapan yang diberikan membuat saya terkesima sebentar. Kagum dengan jawapan yang diberikan kerana budak itu masih kecil tetapi mampu memberi jawapan yang cukup matang. Jika jawapan itu diberikan oleh orang lain yang dewasa mungkin itu lain ceritanya. Jawapannya membuatkan teringat saya kepada sebuah kisah tentang seekor burung. Tentang usaha.
Berlaku sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.Walaupun nampak tidak ada gunanya, si burung itu tetap tabah melakukannya.
Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu:
“Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.”Lalu dijawab oleh burung berkenaan:
“Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).
DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya:
“Sesungguhnya Nabi S.A.W memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim)Kisah itu sama sahaja seperti kisah kanak-kanak itu. Mungkin kanak-kanak itu tidak menang, tetapi dia telah berusaha. Menang atau kalah itu lain cerita. Jadi, perkara yang sama dapat diaplikasikan dalam kehidupan. Jangan difikirkan menang yang akhir tu, tetapi tanyalah pada usaha yang dilakukan. Adakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh? Ataupun kita melakukannya sambil lewa sahaja?
Jangan dikhuatir usaha yang diberikan. InsyaAllah setiap usaha pasti akan dibalas Allah S.W.T nanti walaupun ianya tidak nampak sekarang. Dan jika kita tidak menang pun pasti rasa kita puas pabila kita menoleh mengingati kenangan itu.
Salam inspirasi
Dipetik dari: Saiful Izzuan
{ 1 comments... read them below or add one }
Sesungguhnya Nabi S.A.W memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim)
kenapa ya cicak sunnah untuk dibunuh.. ?
17 September 2012 at 14:10
Post a Comment